14 Disember 2012

KantoiI! Penipuan BN terbongkar seluruh dunia!

30 Muharram 1433H. [MOD] -


Memalukan!

Satu lagi projek penipuan Umno dan Barisan Nasional yang selama ini berjaya diselindungkan dari pengetahuan kita dalam negara kini terbongkar ke seluruh dunia!

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) didakwa “sengaja” memanipulasi standard lulus mata pelajaran Sains dan Matematik untuk membolehkan lebih ramai pelajar yang mengambil peperiksaan memperolehi keputusan baik, kata pemimpin DAP.

Dakwaan mengikut penilaian antarabangsa menunjukkan kedudukan Malaysia bagi dua mata pelajaran tersebut mengalami penurunan ketara.

Dalam satu kenyataan bersama, Tony Pua dan Ong Kian Ming hari ini menegaskan, tindakan KPM “memudahkan” silibus pendidikan bagi kedua-dua mata pelajaran terbabit adalah punca kepada penurunan standard pendidikan negara.

“Tindakan kementerian memudahkan silibus dan menurunkan markah lulus merupakan sebab utama penurunan standard sistem pendidikan negara kita,” kata mereka dalam kenyataan tersebut mengenai peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kementerian telah memudahkan silibus bagi memberikan persepsi terdapatnya peningkatan prestasi, diukur melalui jumlah lulus dan ‘A’ yang diperolehi semasa peperiksaan,” tambah mereka.

Jelas kedua-dua pemimpin DAP tersebut, tindakan itu lebih menyedihkan apabila Kajian Sains Dan Matematik Antarabangsa (TIMSS) pada tahun 2011 yang menunjukkan Malaysia merupakan negara yang mana pelajarnya mengalami penurunan mendadak bagi dua mata pelajaran tersebut.

Kajian berkenaan menunjukkan Malaysia memperoleh 440 mata dalam matematik untuk tingkatan dua ― bersamaan dengan gred lapan di seluruh dunia di belakang Korea Selatan, Singapura, Chinese Taipei (Taiwan), Hong Kong dan Jepun yang menduduki lima tangga teratas.

Pelajar berusia 14 tahun Malaysia juga gagal menyaingi rakan-rakan sebaya mereka di Israel dengan 516 mata, Lithuanian (502) dan Lebanon (449) disamping hanya di hadapan Thailand dengan perbezaan yang tipis, dengan mendapat 427 mata.

Dalam bidang sains, Malaysia mendapat 426 mata, bersamaan dengan Syria dan hanya mendapat mata tipis berbanding Palestin, Georgia, dan Oman yang mendapat 420 mata.

Singapura mendapat mata tertinggi dengan 590 mata, Chinese Taipei (564), Korea Selatan (560), Jepun (558), Israel (516), Kazakhstan (490) dan Thailand dengan 451 mata.

Tambah mereka, walaupun TIMSS menunjukkan penurunan yang amat ketara terhadap sistem pendidikan kita, lebih mengejutkan pelajar di sekolah menengah di negara ini terus memperolehi keputusan membanggakan setiap tahun bagi mata pelajaran matematik dan sains bagi PMR dan SPM.

“Penurunan Malaysia dalam pencapaian TIMSS yang diukur bersama dengan 59 negara lain jelas menunjukkan perbezaan ketara dalam pencapaian oleh pelajar yang sama dalam PMR dan SPM,” kata Pua dan Ong.

Purata mata bagi TIMSS ialah 500 mata, dengan negara yang menunjukkan mata melebihi angka tersebut dianggap sebagai terbaik dalam dua bidang tersebut, manakala di bawah mata tersebut dianggap tidak mencapai prestasi yang dikehendaki.

Tony dan Ong turut menunjukkan Gred Purata Kebangsaan (GPK) yang diperolehi pelajar bagi peperiksaan PMR dan SPM di negara ini.

“Bagi PMR, secara lebih tepat, mereka yang memperolehi A dalam matematik meningkat daripada 26.7 peratus pada 2010 kepada 28.9 peratus pada 2011, manakala bagi mata pelajaran sains, meningkat daripada 18.5 peratus pada 2010 kepada 21.7 peratus pada 2011.

“Pada masa sama, keputusan SPM kita pada 2011 dilaporkan antara yang terbaik sejak lima tahun, apabila Gred Purata Kebangsaan menunjukkan peningkatan daripada 5.19 pada 2010 kepada 5.04 pada 2011 (gred yang lebih rendah adalah skor yang baik),” kata mereka.

TIMSS adalah kajian selama empat tahun untuk pendidikan sains dan matematik bagi gred empat dan lapan di seluruh dunia ― atau Darjah Empat dan Tingkatan Dua mengikut sistem pendidikan Malaysia.

Bagaimanapun, bagi Malaysia kajian hanya dilakukan bagi peringkat sekolah menengah dalam kajian tersebut.


Dalam kajian TIMSS menunjukkan Malaysia masih tidak mencapai prestasi yang baik dalam tiga kajian sebelum ini dalam dua bidang tersebut yang dianggap penting untuk negara  mencapai negara berpendapatan tinggi.

Pada tahun 2007, purata pelajar Malaysia mendapat 474 mata di dalam matematik dan 471 di dalam sains dalam kajian TIMSS.

Pada tahun 1999, purata bagi pelajar ialah 519 mata bagi matematik dan 492 bagi sains.

Justeru, Pelan Pembangunan Pendidikan (NEB) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini jelas Tony dan Ong perlu mengakui secara terbuka kementerian berkenaan melakukan tindakan “memudahkan” silibus dalam sistem pendidikan negara.

“NEB perlu secara terbuka mengakui terdapatnya tindakan memudahkan sistem pendidikan kita,” kata mereka.

“Pelan tersebut bukan sahaja mengabaikan perkara itu, malah turut memuji pencapaian akademik pelajar dalam peperiksaan PMR dan SPM.

“Sekiranya Menteri Pelajaran, Muhyiddin Yassin gagal untuk memulihkan proses tersebut, dan meningkatkan standard peperiksaan dan silibus kita, kami yakin, bukan hanya setakan NEB akan gagal, kedudukan Malaysia dalam TIMSS akan terus menjunam pada masa akan datang,” tegas mereka lagi.
 
harakah/-

Tiada ulasan: