10 Disember 2012

Mengayuh dalam hujan menuntut perubahan

26 Muharram 1433H. [MOD] -



(Para aktivis Jerit mengayuh basikal dalam hujan bagi menuntut perubahan)

SEREMBAN: Selepas berjaya dengan projek jalan kaki membantah Lynas, 20 aktivis NGO Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) pula menggunakan pendekatan mengayuh basikal untuk menuntut perubahan.

Mereka memilih Negeri Sembilan sebagai sasaran kayuhan yang dinamakan "Rakyat Pengayuh Perubahan 2.0" dan mensasarkan 23 perhentian sepanjang kayuhan selama empat hari itu yang bakal berakhir hari ini.

Mereka melalui tujuh daerah utama di negeri itu iaitu Seremban, Port Dickson, Rembau, Tampin, Kuala Pilah, Jempol dan Jelebu.

(Siap untuk membuat kayuhan)

Pada hari ke-3, mereka memulakan kayuhan di bawah hujan lebat bermula dari Johol ke Bandar Baru Serting.

Lawatan pertama mereka adalah ke Raja Alias 2, Serting. Masyarakat tempatan mengalukan kedatangan para pengayuh.

Pengayuh turut mengedarkan risalah kepada penduduk tempatan dan  dijamu dengan nasi lemak dan bermacam lagi.

Di Jempol, pengayuh singgah di rumah seorang pemimpin PAS yang menyediakan minuman dan buah- buahan.

Di Dataran Senawang, mereka diraikan oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang menerima kedatangan para pengayuh.

(Berehat di rumah seorang pemimpin PAS tempatan di Jempol)
Para pengayuh seterusnya ke Sungai Gadut menerima memorandum daripada pihak ibubapa dan pelajar SJK (Tamil) Ldg Senawang.

Akhirnya pengayuh kembali ke Seremban Jaya. Pengayuh bermalam di Seremban Jaya malam ini.

Hari ini,  10 Disember 2012, para pengayuh akan ke Pejabat Menteri Besar untuk menyampaikan memorandum tuntutan rakyat.

Mereka juga akan mengunjungi Ketua Pembangkang Anthony Loke untuk menyampaikan memorandum tuntutan rakyat itu.

Tujuh tuntutan itu termasuk pilihan raya bersih dan adil, gesaan supaya menghentikan pemusnahan alam sekitar, perumahan selesa untuk rakyat dan tuntutan supaya kerajaan menghentikan penswastaan perkhidmatan awam.

Selain itu, NGO berkenaan juga menuntut supaya kerajaan melindungi hak dan kebajikan pekerja, hak untuk berhimpun secara aman, hak bersuara dan juga memansuhkan undang-undang yang didakwa zalim.

harakah/-

Tiada ulasan: