23 April 2013

Selebriti kerja kuat bantu kempen PAS

12 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Kemeriahan kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) semakin dirasai oleh rakyat Malaysia khususnya kepada parti-parti politik yang bertanding.

Bagi PAS dan Pakatan Rakyat, kempen PRU13 mungkin sedikit berbeza berbanding kempen-kempen PRU terdahulu apabila kempen kali ini turut dibantu secara terbuka oleh golongan artis dan selebriti.

Jika sebelum ini PAS dilihat tidak mendapat tempat di hati para artis dan selebriti, namun kali ini golongan artis secara terang-terangan menyatakan sokongan terhadap parti ini dan secara sukarela membantu parti dalam kempen pilihan raya.

Bagi pengarah,penerbit dan juga pelakon, Adam Hamid yang menyertai PAS pada Julai tahun lalu, PRU kali ini amat bermakna bagi dirinya kerana beliau terlibat secara langsung membantu kempen parti itu.

Teruja berkongsi pengalaman, Adam, 40, berkata beliau bergilir-gilir membantu calon PAS di Parlimen Titiwangsa, Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi dan calon PKR, Nurul Izzah Anwar di Parlimen Lembah Pantai.

"Saya membantu kawasan Lembah Pantai dan Titiwagsa. Setakat ini, memang bergilir-gilir di dua kawasan ini sahaja tapi kalau ada kawasan lain yang jemput saya, saya cuba penuhi jika berkesempatan.

"Saya akan terus membantu jentera sehingga 5 Mei ini. Kalau ikutkan saya kena ke Brunei 1 Mei tapi saya minta tangguh selepas 5 Mei sebab saya ingin membantu dalam pilihan raya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Anak kelahiran Kelantan dan berdarah Cina Pakistan itu juga berkata, beliau dipanggil memberikan ceramah dalam program bersama anak muda dan ada kalanya diberi tugas menjadi pengacara majlis.

"Memang saya tumpu seratus peratus kepada kempen. Biasanya saya dipanggil memberi ceramah kelompok, jadi pengacara program dan kadang-kadang jadi penceramah bidang terjun. Tapi saya cuba tolong mana yang mampu.

"kalau tak ada program ceramah pun, saya akan tolong pasang bendera, dan keluar ke markas dan bilik gerakan untuk bersama-sama jentera," katanya ramah.

Cerita beliau juga, beliau sangat terharu dengan sambutan yang diberikan penduduk setempat sewaktu PAS mengadakan program di Titiwangsa.

"Pengalaman saya sendiri, sewaktu menyertai program goreng keropok lekor di PPR Laksamana, walaupun hujan, saya terharu apabila ada uncle dan auntie Cina turun membantu kami. Saya nampak sokongan mereka terhadap PAS," katanya.

Beliau sempat memberitahu, 99 peratus keluarganya di Kelantan yang berbangsa Cina dan beragama Budha menyokong PAS.

"Keluarga saya di Kelantan, 99 peratus Cina dan belum memeluk Islam tapi menyokong PAS. Mak saya Cina masuk Islam dan ahli keluarganya belum memeluk Islam. Tapi mereka memang menyokong PAS dan menyatakannya secara terbuka. Kalau saya balik Kelantan, mereka suka bercerita tentang PAS di Kelantan," ceritanya.

Pengundi di Lembah Pantai itu juga tanpa berselindung memberitahu, enam undi sudah dijamin untuk Nurul Izzah.

"Saya, abang, dan kakak ipar dan keluarganya, memang akan beri undi kepada Nurul Izzah," katanya diiringi ketawa.

Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar keluar mengundi dan tidak takut melakuan perubahan kerana menyifatkan PRU13 amat penting untuk masa depan negara.

"Saya menyeru semua warga Malaysia agar tidak takut untuk keluar mengundi. Pilihan raya kali ini sangat penting kepada warga Malaysia untuk menentukan siapa yang bakal memerintah negara. 

"Kepada jentera pula, saya harap bekerjalah seikhlas hati, semampu yang boleh dan tidak mengharapkan pujian.

"Kalau nanti andai wakil rakyat yang kita bantu itu tidak kenal kita, tida tegur kita, jangan kecil hati. Dia ada banyak tugas, ada banyak rakyat yang nak kena jaga. Allah ada untuk membalas segala kerja buat kita," katanya.

Bagi seorang lagi selebriti, Leman Raja Lawak atau nama sebenarnya Sulaiman Ibrahim, inilah masanya beliau mengotakan janji untuk menjadi pekerja sepenuh masa kepada PAS.

Leman, 31, sewaktu menyertai PAS Jun tahun lalu berjanji akan membantu PAS dalam PRU13.

Leman yang juga dihubungi Harakahdaily hari ini mengakui jadualnya padat dengan aktiviti kempen bersama calon PAS.

"Saya berkempen di seluruh negara. Malam ini di Kedah, esok di di Perak, lusa di Melaka, kemudian Johor, Kelantan dan balik semula ke Kedah.

"Saya memang fokus kepada ceramah bersama calon-calon. Saya fokus kepada isu rakyat seperti masalah ekonomi, terangkan manifesto Pakatan Rakyat. 

"Mungkin PAS nampak saya boleh tarik anak muda dengar ceramah, jadi saya diberi tugas berceramah dan fokus saya memang untuk jatuhkan Umno BN" katanya bersahaja.

Leman juga baru diambil menjadi anak angkat Parlimen Sik, kerana dilihat mampu memberi pengaruh kepada golongan muda di kawasan tersebut.

"Malam semalam saya berkonvoi motosikal bersama 1,000 pemuda dari Pekan Sik, masuk ke kawasan Felda. Alhamdulillah sambutan memberangsangkan dan kami tak dihalang masuk Felda walaupun diketahui kawasan kuat Umno di situ," ceritanya.

Pengundi di Parlimen Padang Terap itu turut menyeru rakyat Malaysia agar keluar menunaikan tanggungjawab pada 5 Mei ini.

"Saya nak pesan, untuk pilihan raya kali ini, jangan takut untuk undi Pakatan Rakyat, jangan takut untuk tukar kerajaan.

"Jangan percaya khabar angin yang kata akan berlaku huru-hara selepas pilihan raya. Kitalah penentu masa depan negara," katanya yang juga Presiden Pertubuhan Angkatan Belia Bersama Ulama (Panglima).

Menyentuh mengenai penyanyi Aishah yang bertanding di Parlimen Jempol, beliau menyokong penuh perkara itu dan berharap kemenangan Aishah di kawasan tersebut. 

"Saya sangat sokong Kak Aishah jadi calon tapi saya minta maaf, saya memang tidak sempat untuk turun berkempen untk beliau.

"Baru-baru ini saya hanya sempat turut ke Pengerang, kawasan Dayangku Intan bertanding. Apa-apa pun, saya memang menyokong mereka dan mendoakan kemenangan mereka," ujarnya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: