23 April 2013

Sokongan masyarakat Cina luar biasa - Dr Rani

12 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



KLANG: Sokongan masyarakat Cina terhadap Pakatan Rakyat terus meningkat jika dibandingkan pada Pilihan raya Umum ke-12 pada 2008 lalu.

Tinjauan Harakahdaily bersama calon Dun Meru, Dr Abd Rani Osman di sebuah Pasar Cina Jalan Kedah, di sini mendapati masyarakat Cina menyambut baik kedatangan beliau dan menyatakan sokongan secara terbuka.

Dengan menggunakan istilah 'Ini kalilah tukar' laungan tersebut sentiasa kedengaran di sekitar pasar itu setiap kali Dr Abd Rani bertemu peniaga dan juga pengunjung.

Dr Abd Rani yang dalam program bertemu peniaga dari kaum Cina turut mengedar risalah tentang kejayaan Pakatan Rakyat Selangor dan manifesto Pakatan Rakyat.(Gambar atas)

Beliau memberitahu tinjauan yang dilakukan menunjukkan sambutan serta sokongan yang diberikan oleh kaum Cina amat luar biasa jika dibandingkan pada tahun 2008.

Jelasnya lagi, bukan sahaja kaum Cina, sokongan daripada kaum Melayu dan India turut menunjukkan peningkatan.

"Satu suasana yang tidak pernah saya lihat pada kempen 2008 yang mana menunjukkan peningkatan luar biasa diberikan oleh kaum Cina kepada Pakatan Rakyat.

"Mana-mana tempat kita pergi mereka melahirkan sokongan penuh mereka, malah ceramah yang kita adakan mereka hadir dan tunggu sehingga habis program, ini satu perkembangan yang menarik," jelasnya.

Tambahnya lagi, walaupun terdapat kain rentang mahupun risalah yang diedarkan oleh individu tidak bertanggungjawab mengenai dirinya, perkara itu ditolak oleh pengundi Meru yang telah lama mengenali beliau.

Sementara itu, Tan Ou Kok, 66, memberitahu beliau akan terus memberi sokongan kepada PAS kerana sifat peribadi yang ditunjukkan oleh PAS dan calonnya berbeza dengan Barisan Nasional.

"Saya akan terus menyokong PAS dan Pakatan Rakyat kerana bagi saya PAS amat baik dan boleh dipercayai, ini amat berbeza dengan Barisan Nasional.

"Saya pasti orang Cina akan terus menyokong PAS untuk buat perubahan, kita sokongan janji manifesto Pakatan Rakyat yang membela rakyat," kata beliau.

Dalam pada itu Dr Abd Rani yakin masyarakat Meru akan terus memberi sokongan kepadanya bagi terus mempertahankan kerusi Dun Meru yang dimenangi beliau pada PRU12 lalu.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: