23 April 2013

Hanya Zulkifli Noordin yang mengeluarkan kata-kata perkauman, kata Khalid

12 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


SHAH ALAM — Penyandang kerusi Parlimen Shah Alam Khalid Samad membuka tirai kempen dengan menyerang lawannya Datuk Zulkifli Noordin kerana mendakwa mempelajari sifat perkauman daripada Pakatan Rakyat (PR) dengan mengatakan dalam satu ceramah malam tadi tiada seorang pemimpin parti pernah didengar atau mengeluarkan perkataan sedemikian.
Dengan suaranya yang telah serak dua hari selepas Hari Penamaan Calon, Khalid menyelar dakwaan calon Barisan Nasional (BN) itu yang mendakwa membuat kenyataan perkauman semasa bersama PAS.
“Zul Noordin kata semasa dalam PAS, itu (perkauman) tarbiah PAS, kalaulah betul itu sikap PAS, tapi kenapa dia seorang saja yang cakap perkara perkauman macam itu?
“Beribu ahli dan kepimpinan PAS, tapi tiada satu pun yang bercakap macam dia cakap... dia seorang saja yang cakap. Betul?” soal Khalid Samad kepada orang ramai yang disambut dengan jawapan “ya”.
Majoriti masyarakat Melayu Shah Alam yang hadir memenuhi separuh dataran dengan beralaskan surat khabar dan tikar, disamping beberapa kumpulan kecil masyarakat India turut dilihat.

Khalid menambah individu seperti Zulkifli yang suka menipu sanggup mengampu pemimpin demi kepentingan politiknya, perkara sama pernah dilakukannya semasa menjadi peguam Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbicaraan kes Liwat II lalu.
“Orang macam Zulkifli ini seorang penipu, sanggup membodek semata-mata kepentingan politiknya,” tambah ahli parlimen Shah Alam itu.
Khalid kemudiaan berkata sepanjang bersama PAS semua orang tahu tentang sikap Zulkifli yang suka menipu, malahan mengingatkan tentang nasihat bekas Presiden PAS Datuk Fadzil Mohd Noor supaya tidak mempercayai naib presiden Perkasa itu.
“Saya teringat pesanan arwah Fadzil Mohd Noor ke atas individu bernama Zulkifli.
“Beliau berkata 10 daripada perkara yang Zulkifli cakap, 12 tidak boleh dipercayai,” katanya lagi dengan nada menyindir Zukifli Noordin.
Shah Alam merupakan ibu negeri Selangor dan memiliki majoriti penduduk Melayu dilihat menjadi kunci kepada pertarungan antara BN dan Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya 5 Mei depan, walau bagaimanapun Datuk Seri Najib Razak selaku pengerusi BN Selangor memilih untuk meletak Zulkifli sebagai calon BN di kerusi tersebut.
Khalid membidas kepimpinan Umno di Selangor sebagai sudah lumpuh sehinggakan Najib terpaksa mencampuri urusan negeri bukan tempat kelahirannya, malahan meletak calon bukan anak jati Selangor.
“Kenapa dia sangat yakin kata boleh menang 101 peratus? Kerana di hantar oleh Najib, tapi dia terlupa Najib bukan pengundi di Selangor.
“Meletak beliau di sini adalah penghinaan kepada Umno Selangor dan tidak menghormati rakyat di Shah Alam,” kata Khalid yang merujuk kepada masyarakat India Shah Alam.
Zulkifli merupakan penyandang ahli parlimen PKR di Kulim-Bandar Baharu tetapi kemudiaannya dipecat pada 2010.
“PKR dah tendang dia pada 2010, malahan Umno pun takut nak terima dia.
“Oleh itu, saya gesa rakyat pula kali ini menendang dia keluar,” kata Khalid lagi yang disambut dengan sorakan “boleh” orang ramai.
Turut hadir dalam program ceramah semalam adalah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan  Naib Presiden Salahuddin Ayub.
Video menunjukkan Zulkifli menggunakan perkataan “Keling”, yang masyarakat India rasakan sebagai penghinaan kaum, tersebar baru-baru ini, beberapa hari selepas satu lagi video menyaksikan beliau mempersoalkan seorang peniaga India mengapa tuhan Hindu tidak menyelamatkan kedainya daripada banjir, menyebabkan kemarahan penganut Hindu.
Zulkifli mengakui kesilapannya itu dan meminta maaf serta mendakwa mengeluarkan kata-kata tersebut semasa bersama PAS.
Zulkifli menjadi ahli parlimen bebas mesra BN dan kritikal terhadap Pakatan Rakyat (PR) apabila beliau dipecat PKR pada 6 Mac 2010 ekoran laporan polis beliau ke atas penyandang ahli parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad.
Beliau juga memberitahu fz.com yakin “101 peratus” akan menang kerusi Shah Alam mengalahkan calon PAS yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 2008.
“Selepas 5 Mei anda akan melihat saya sebagai wakil rakyat Shah Alam, kerana saya yakin terhadap Perdana Menteri,” katanya.
Fokus terarah kepada Selangor, yang dikatakan nadi kepada kepesatan ekonomi dan pentadbiran PR dibawah Menteri Besar (MB) sepenggal Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didakwa oleh BN gagal mempamerkan prestasi baik untuk mengekalkan sokongan seperti pada tahun 2008 lalu.
PR selepas pilihan raya umum 2008 mempunyai penguasaan yang ketara keatas negeri terkaya tersebut dan memegang 36 kerusi daripada 56 kerusi dewan undangan negeri serta 17 daripada 22 kerusi parlimen.
The Malaysian Insider/-

Tiada ulasan: