23 April 2013

Kakitangan awam, pelajar kolej ditahan parti liar

Mohamad Mansor12 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

BENTONG - Keasyikan 42 lelaki dan 20 wanita berpesta liar dalam dua unit apartmen di sebuah resort di Genting Highlands, dekat sini, awal pagi kelmarin terbantut apabila sepasukan polis menyerbu dan menahan mereka.

Mereka yang ditahan berumur lingkungan 19 hingga 29 tahun terdiri daripada kakitangan awam dan pelajar kolej.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, serbuan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong diketuai Inspektor Ng Tee Yian kira-kira jam 1 pagi.

Menurutnya, ketika serbuan, kebanyakan mereka dalam keadaan khayal dan sedang asyik menari diiringi muzik Techno.

“Hasil pemeriksaan dijalankan polis berjaya merampas 74 biji pil eramin 5, satu ketul mampatan ganja, satu peket plastik lut sinar ketamin, tiga peket lut sinar serbuk ecstasy, 70 biji pil ecstasy, 28 biji kapsul mengandungi dadah berbahaya dianggarkan berjumlah RM7,300.

“Berdasarkan ujian saringan air kencing yang dijalankan, 32 lelaki dan 16 perempuan disahkan positif dadah,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, hasil siasatan awal mendapati, kesemua suspek yang ditahan membayar RM15 seorang kepada penganjur untuk menyertai parti berkenaan.

Katanya, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti penganjur parti itu.

“Kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan kini ditahan reman sehingga 25 April 2013 untuk siasatan lanjut.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: