23 April 2013

Mat Taib : Umno Sudah Kurang Upaya Dan Hilang Konsentrasi

12 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


muhd taib ceramah 22 apr 01
SHAH ALAM 23 APRIL : Umno bukan tiada jasa tetapi kini mereka sudah kurang upaya, ujar bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Oleh itu demi kelahiran semula Malaysia yang lebih baik beliau yang lebih dikenali dengan nama Mat Taib merasakan sudah tiba masanya beliau bersuara membantu Pakatan Rakyat (PR) membentuk Kerajaan Persekutuan yang baru.

Berkhidmat selama 11 tahun sebagai Menteri Besar, Mat Taib menyatakan gabungan PAS, PKR dan DAP mampu memberi erti sebenar makna sebuah pembangunan yang sekian lama didahagakan rakyat di negara ini.

“Saya fikir ini satu usaha orang muda yang boleh meneruskan dan memberi satu penambahbaikan kepada usaha BN sebelum ini.

“Bukan Umno tidak ada jasa tetapi kini mereka sudah kurang upaya, barangkali kerana sudah terlalu tua dan hilang konsentrasi untuk membawa kita ke tahap lebih tinggi.

“Oleh itu, kita perlu ada satu perubahan dan saya yakin tugas ini mampu dibawa PAS, PKR dan DAP,” ujar beliau di hadapan lebih seribu hadirin di Dataran Kemerdekaan di sini malam tadi.

Beliau juga berpendapat tindakan PAS meletakkan calon-calonnya di bandar-bandar utama di negara ini sebagai perancangan bijak dalam mengukuhkan kedudukan Islam.

“PAS meletakkan tokohnya di Shah Alam, di Putrajaya, di Pulai dan juga di beberapa bandar lagi.
“Jika dilihat, Nabi Muhammad juga memilih bandar seperti Madinah dan Mekah untuk kembangkan syiar Islam,” katanya yang akan menyertai jentera kempen PR di seluruh Selangor.

Semalam, bekas Naib Presiden Umno itu menyerahkan borang keahlian PAS seumur hidup kepada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur.

Beliau mengambil keputusan menyertai PAS secara rasmi dua hari selepas penamaan calon Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) bagi mengelakkan tuduhan yang beliau menyertai PAS hanya untuk dicalonkan.

selangorku/-

Tiada ulasan: