20 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
KUALA KURAU - “Tiba-tiba saya tengok sebuah bas sekolah condong ke sebelah kanan jalan sebelum terhumban ke dalam parit.”
Demikian pengakuan seorang saksi kejadian, Salbiah Hasan, 46, setelah melihat kejadian 62 pelajar sebuah sekolah agama di sini yang menaiki sebuah bas, nyaris lemas setelah kenderaan itu terbabas seterusnya terhumban ke dalam parti di Kampung Parit Abas, semalam.
Menurutnya, kejadian berlaku jam 2.30 petang di Kampung Parit Abas Kuala Kurau setelah bas itu terbalik akibat keadaan permukaan jalan yang licin.
“Ketika itu, saya berada di luar rumah menunggu anak bongsu saya yang bersekolah rendah di sini kerana bimbang dengan keselamatannya yang belum tiba ditambah pula dengan keadaan hujan yang lebat.
“Sedang saya menunggu, saya terlihat bas yang sering membawa pelajar asrama berulang alik, itu seakan-akan condong ke sebelah kanan jalan sebelum terhumban ke dalam parit,” katanya sewaktu ditemui media di lokasi kejadian, semalam.
Salbiah berkata, keadaan menjadi lebih buruk apabila kesemua pelajar itu dilihat cuba keluar melalui segenap ruang dari dalam bas untuk menyelamatkan diri.
“Keadaan menjadi kecoh kerana kesemua pelajar tersebut menjerit ketakutan sambil keluar melalui celah-celah tingkap bas tersebut.
“Mujurlah keadaan paras air dalam parit itu yang agak cetek memudahkan kesemua pelajar terbabit menyelamatkan diri.
“Tiada apa yang dapat saya lakukan kecuali menelefon Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau untuk segera ke tempat kejadian,” katanya.
Sementara itu, salah seorang mangsa yang enggan dikenali berkata, sewaktu kejadian berlaku, dia merasakan keadaan seolah-olah menjadi ‘gelap gelita’.
“Bila bas dinaiki kami ditenggelami air, kami terus berasak-asak untuk keluar dari bas disebabkan bimbang lemas di dalam air parit.
“Mujur paras air parit tidak tinggi dan kami semua berjaya keluar dengan selamat,” katanya.
Sementara itu Penolong Bomba Kanan (PBK) 2, Mohd Sarif Aziz ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menegaskan punca kejadian masih dalam siasatan.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan