20 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
PARIT BUNTAR - Kelekaan seorang pemilik kedai peralatan mesin membuat kerja, nyaris mengundang padah apabila dia hampir dihempap sebuah khemah yang runtuh diterbangkan ribut dalam kejadian di hadapan premisnya di Pusat Bandar Fasa 2, di sini, semalam.
Mangsa, Ooi Eng Keat, 55, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, sebuah khemah yang dijadikan bilik gerakan sementara sebuah parti politik di sini secara tiba-tiba diterbangkan ribut sebelum mengenai kereta jenis Perodua Kenari miliknya dan runtuh.
Menurutnya, dia yang sedang melakukan kerja kimpalan besi ketika itu terkejut apabila ‘bilik gerakan’ runtuh itu hampir mengenai dirinya, sebelum dihalang kereta miliknya.
“Kesan kejadian itu menyebabkan keadaan kereta saya tercalar, manakala beberapa jentera mesin dikhuatiri rosak akibat dihempap khemah berkenaan.
“Nasib baik ada kereta yang menghalang khemah itu dari terus menghempap saya, jika tidak saya tidak tahu apa akan terjadi pada saya,” katanya sewaktu ditemui media di lokasi kejadian semalam.
Ooi berkata, berikutan kejadian itu, laporan polis sudah dibuat dan pihaknya berharap parti politik lebih menitikberatkan soal keselamatan dalam memasang khemah sementara untuk dijadikan bilik gerakan.
“Saya juga berharap wakil parti itu tampil untuk membiayai kos ganti rugi dialami pihak kami disebabkan pemasangannya dibuat atas dasar cuai,” katanya.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan