01 Mei 2013

PAS dedah dokumen Mini Zoo cecah RM100 juta

20 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Dr Syed Azman menunjukkan dokumen berkenaan kepada pihak media.

KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu mendedahkan satu dokumen mengenai kos perbelanjaan bagi pembinaan Taman Rekreasi dan Mini Zoo Bukit Takal di Kemaman, yang mencecah hampir RM100 juta.

Calon PAS bagi Dun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata pendedahan mengenai dokumen pembinaan Zoo Bukit Takal tersebut bukti dakwaan PAS selama ini benar dan berfakta.

Ini katanya, sekaligus menyangkal dakwaan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang sering kali menuduh PAS membuat fitnah mengenai projek tersebut.

Menurutnya, dokumen mengenai Mini Zoo berkenaan jelas memaparkan projek tersebut menelan belanja hampir RM100 juta.

“Selama ini Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said telah buat penafian dan menuduh PAS-Pakatan Rakyat berbohong tentang fakta mengenai pembinaan Mini Zoo itu.

“Ini bagi menjawab apa yang menjadi tohmahan Menteri Besar yang kata, kita (PAS) bohong dan menipu kepada rakyat di negeri Terengganu selama ini,” katanya yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS.

Jelasnya, projek itu sahaja dari segi phasing and construction schedule yang mempunyai beberapa fasa dan kosnya sahaja sebanyak RM94,949,373.

“Inilah yang kita (PAS) sebut selama ini pembaziran yang dilakukan oleh MB Terengganu,” jelasnya pada satu sidang media di Pusat Media Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, di pejabat PAS negeri, di sini, semalam.

Dokumen tersebut diedarkan kepada semua pihak media yang terkandung maklumat terperinci mengenai semua kos pembinaan Mini Zoo Bukit Takal termasuk kos pembelian haiwan peliharaannya.

Hadir sama pada sidang media itu ialah calon PAS bagi Parlimen P.036 Kuala Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, Ketua Jabatan Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Ahmad dan Timbalan Pengerusi DHPP Terengganu, Jefri Chua.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: