01 Mei 2013

Jangan buat silap kali ke 13

20 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Rakyat diseru jangan lagi membuat kesilapan kali ke 13 dengan mengundi BN sebagai kerajaan persekutuan pada 5 Mei ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata demikian sebagai menjawab saranan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak yang berkata Pakatan Rakyat tidak layak diberi peluang kedua untuk memerintah di negeri-negeri yang dimenanginya 2008.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah bertungkus-lumus lima tahun untuk mencari satu kesalahan pada pimpinan Pakatan Rakyat, tapi mereka gagal menjumpai apa-apa. 
"Dengan SPRM yang terkenal dengan kecekapan dan kepantasannya dalam sebarang kes melibat pimpinan PR, PR sudah boleh dikira sebagai teramat bersih kerana tiada satu kes rasuah pun sehingga kini. Rakyat lebih pandai menilai,” kata Tuan Ibrahim.

Berbanding dengan BN yang dikerumi dengan skandal-skandal penyelewengan, Tuan Ibrahim berkata rakyat perlu memikirkan apakah BN layak diberi peluang untuk kali ke 13.

“Kerajaan yang dipilih mestilah amanah dalam menjaga hak dan duit rakyat. Prestasi kerajaan negeri PR dengan integriti para pemimpin BN, rakyat perlu memilih Pakatan. Jangan tersilap buat kali ke 13,” nasihat Tuan Ibrahim (gambar), yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Ketika berkempen di Padang Keda, Pekan Baru Keda, Kupang, Najib menyuruh rakyat membetulkan kesilapan mereka di 2008.

“Kalau dah silap boleh betulkan pada 5 Mei ini (PRU13). Dulu tersasar, terpesong takpe, buat silap sekali takpe, jangan dua kali buat silap," katanya.

Najib berkata canangan perubahan PR hanya janji kosong.

“Kalau nak buat perubahan kena ada wawasan, dan kena ada kemampuan untuk menterjemahkan agenda menjadi realiti dan kenyataan," beliau tegaskan.

Kemampuan datang apabila menjadi kerajaan, jawab Tuan Ibrahim.

“PR boleh menterjemahkan segala janji menjadi realiti dan kenyataan. Rakyat cuma perlu memberi peluang kepada PR untuk sekali sahaja untuk kami buktikan.

"Jika peluang tidak diberi, manalah rakyat boleh mengesahkan bahawa BN sedang berbohong ke tidak bahawa negara akan bankrap di bawah pemerintahan PR,” tegas beliau. 

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: