20 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
KUALA KURAU - Tindakan seorang pemuda memberhentikan motosikal untuk memakai baju hujan membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki di dalam parit Jalan Baharu, Batu 7, di sini, semalam.
Saksi kejadian dikenali sebagai Rosli, 27, berkata, dalam kejadian jam 2.30 petang, dia dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya di Nibong Tebal, Pulau Pinang terpaksa memberhentikan motosikal ditunggangnya kerana hujan.
Menurutnya, ketika memakai baju hujan, dia terlihat kelibat motosikal di dalam sebuah parit bersama topi keledar yang terapung.
“Saya mula berasa ada sesuatu tidak kena apabila melihat motosikal berkenaan berada dalam keadaan terbalik dan saya segera mendekati lokasi tersebut yang hanya lima meter dari tempat saya berhenti.
“Sebaik sahaja mendekati lokasi kejadian, saya terkejut melihat tubuh manusia terapung bersama topi keledar manakala motosikal mangsa berada di sebelahnya,” katanya sewaktu ditemui media di lokasi kejadian.
Kata Rosli, melihat keadaan mayat itu, dia segera menghubungi pihak polis memaklumkan kejadian tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superitendan Mat Fauzi Nayan berkata, pihaknya mengesahkan kejadian berkenaan dan identiti mangsa sudah dikenal pasti iaitu Loo Char Yu,31, dari pekan Kuala Kurau.
“Polis masih menjalankan siasatan dan kami meminta saksi kejadian tampil untuk memberikan keterangan,” katanya.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan