01 Mei 2013

Di mana kredibiliti SPR?

20 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

SAMM mempersoalkan kebolehan SPR ekoran masalah dakwat kekal yang tidak kekal.
PETALING JAYA: Solidariti Anak Muda Malaysia hari ini mempersoalkan kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ekoran timbulnya masalah dengan dakwat kekal yang tidak kekal.

“Dengan meletakkan tarikh mengundi lima  hari lebih awal berbanding orang awam, SPR secara tidak langsung memberi jaminan dakwat kekal yang digunakan harus kekal lebih dari lima hari.
“Namun tinjauan SAMM mendapati dakwat kekal yang sepatutnya boleh bertahan lima hari itu hanya mampu bertahan selama lima minit setelah dibasuh dengan sabun biasa.
“Apakah SPR sengaja menyediakan dakwat kekal berkualiti rendah untuk membantu penipuan piliha nraya?” soal  Ketua Penyelaras SAMM Badrul Hisham Shaharin yang juga lebih dikenali sebagai Che’gu Bard dalam satu kenyataan media hari ini.
SPR telah menerima cadangan penggunaan dakwat kekal sebagaimana yang dituntut oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil.
Bagaimanapun semalam PAS Negeri Sembilan  mendedahkan bahawa dakwat yang dicalit pada jari pengundi awal boleh  dicuci dan hilang selepas lebih kurang 20 minit mengundi.

Dakwat berwarna ungu-merah jambu.
Ekoran perkembangan ini SAMM mendesak SPR menjawab persoalan dakwat kekal ini dan mahu proses pengundian awal dilangsungkan semula dengan dakwat kekal yang ‘kekal’.
“Fenomena dakwat kekal yang ‘tidak kekal’ ini menunjukkan SPR tidak menepati jaminan pilihan raya Bersih sepertimana yang dituntut oleh rakyat. Manifestasi yang ditunjukkan rakyat dalam tiga siri himpunan Bersih sebelum ini akhirnya dipersiakan oleh SPR apabila tiada lagi jaminan pengundian berganda tidak berlaku dalam PRU 13,” kata Che’gu Bard yang turut bertanding sebagai calon di DUN Sungai Acheh.
Beliau menambah kegagalan SPR menyebabkan Pakatan Rakyat terpaksa berhadapan dengan 272,387 pengundi awal yang mampu bertukar menjadi pengundi hantu.
“Ternyata hari mengundi yang jatuh pada 5 Mei nanti sudah pasti tidak bebas dari pengundi hantu. Sehubungan itu juga, SAMM menyeru rakyat seluruh negara untuk keluar mengundi dan tunjuk kekuatan rakyat untuk mengalahkan penipuan yang terancang,” kata Che’gu Bard.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria menjelaskan bahawa botol dakwat kekal perlu digoncang sebelum digunakan
“Walau apa pun kesan dakwat kekal itu, SPR ingin menegaskan bahawa setiap pengundi awal yang telah selesai mengundi pada 30 April 2013 tidak boleh mengundi sekali lagi pada hari pengundian biasa kerana nama mereka tidak wujud dalam daftar pemilih pilihan raya bagi pengundi biasa yang akan mengundi pada 5 Mei 2013,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan tengah malam tadi.
FMT/-

1 ulasan:

Bungaraya berkata...

Lapor jangan tak lapor. Ambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menipu.