01 Mei 2013

Pusingan akhir, Husam yakin menang 57% undi Putrajaya

20 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Pengerusi Jawatankuasa 'Roadmap to Putrajaya' Pakatan Rakyat itu benar-benar serius mahu memecahkan kubu kuat Umno.
PETALING JAYA: Kedatangan Datuk Husam Musa ke Putrajaya pada awal hanya dipandang sebelah mata, malah ada yang berpendapat langkah PAS meletakkannya ke kerusi Parlimen P125 itu semata-mata mahu membunuh karier politik beliau.

Namun sangkaan itu meleset. Ternyata Pengerusi Jawatankuasa ‘Roadmap to Putrajaya’ Pakatan Rakyat  itu benar-benar serius mahu memecahkan kubu kuat Umno.
Masakan tidak, Barisan Nasional (BN) dan calonnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Tengku Mansor (Ku Nan) yang pada awalnya tersenyum kini mula berpeluh melawan serangan ketua pasukan pemikir strategi PAS itu.
Selain bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad juga dibawa turun berceramah membantu Ku Nan menyekat gelombang perubahan yang mula ditunjukkan kakitangan awam.
Digelar ‘Tony Stark’ -satu karakter hero komik Marvel Iron Man- dalam media sosial, Naib Presiden PAS itu yakin mampu memperoleh antara 55 sehingga 57 peratus undi sekaligus merampas kerusi Putrajaya daripada tangan BN.
Di awal tempoh kempennya tidak ramai yang mahu turut serta, jika ada pun mereka berdiri jauh malah ada yang ‘malu’ menyorok di balik pokok dan kawasan gelap, bimbang kredibiliti sebagai penjawat awam akan terjejas.
Mula berani

Namun trend pengundi mula berubah apabila mereka perlahan-lahan mula berani hadir ke program ceramah PAS sehingga kawasan parkir kereta belakang Istana Kehakiman di Presint 3, Putrajaya penuh dibanjiri orang ramai pada Jumaat minggu lalu.

“Sambutan sebegini tak dapat dilihat pada tahun 2008. Ini petanda gerakan perubahan seluruh negara tak terkecuali Putrajaya,” katanya.
Air mukanya kelihatan letih selain masih risau dengan tahap kesihatan ibunya yang kini sedang uzur di hospital, namun ia langsung tidak mematahkan semangat anak jati Kota Bharu Kelantan ini untuk terus fokus dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU 13).
“Rehat ni ikut keperluan, kalau dah nak pitam tu rehatlah. Kalau masih gagah maknanya tak payah rehat lagi.

“Tapi syukur setakat ni saya masih boleh kendalikan lagi, buktinya pak menteri tiap-tiap hari dah komen kenyataan saya.
“Dulu saya duduk di kampung orang tak hirau tapi kini saya berada di pentas utama dalam misi mengubah Putrajaya,” katanya.
`Kawasan kelabu’
Masih menganggap Putrajaya sebagai ‘kawasan kelabu’, Husam melontarkan beberapa idea pembaharuan untuk menambah baik hidup pengundinya termasuk kira-kira 1.4 juta kakitangan awam.
Antaranya mengkaji semula pembayaran gaji kakitangan kerajaan berdasarkan minggu dan bukannya secara bulanan.
Wujud perbezaan empat minggu jika dihitung berdasarkan bulanan (12 bulan x 4 minggu = 48 minggu) berbanding minggu (365 hari / 7hari = 52 minggu).
“Ini bermakna gaji anda dalam setahun sebenarnya kurang empat minggu…perlu dikaji bukannya terus laksana,” katanya.
Katanya, cadangan itu tidak mustahil kerana negara di Barat termasuk Eropah sudah lama mengamalkan sistem sedemikian.
“Ini satu contoh idea pembaharuan yang ingin dilakukan Pakatan Rakyat. Ia sesuatu yang baik jadi (BN) bahaslah idea itu jangan asyik hentam peribadi sahaja,” katanya.
Isu rumah
Beliau turut membangkitkan isu rumah mampu milik dengan mendakwa Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang dijual dengan harga RM125,000 sehingga RM150,000 dengan keluasan 850 kaki persegi itu tidak berpatutan.
Sedangkan menurut Husam, sumber daripada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (KPTG) memberitahu tanah milik kerajaan Persekutuan diberikan secara percuma kepada pemaju.

PR1MA, agensi kerajaan yang dipengerusikan bekas menteri Datuk Seri Jamaluddin Jarjis itu dengan mudah membelinya dengan harga minimum RM1,000.
“Jadi kenapa harga rumah dinaikkan sedangkan pemaju dapat tanah secara percuma?
“Kerajaan ambil tanah dengan harga RM2.30 satu kaki persegi, nilai tanah sekarang dah jadi RM150 kaki persegi jadi bila diberikan percuma maknanya harga rumah sepatutnya kena rendahlah,” katanya.
`Hijrah Nabi’
Selain itu, beliau juga mencadangkan agar kawasan pinggiran Putrajaya dimajukan khususnya di Bukit Damar dibangunkan sebagai kawasan perumahan bagi kakitangan yang berpendapatan RM3,000 kebawah.
Mengambil konsep ‘hijrah’ Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah sebagai satu strategi politik, Husam nafi mengabaikan kebajikan DUN Salor walaupun sibuk berkempen di Putrajaya.
“Pengundi di Salor anak emas saya. Sebagai anak emas kalau saya menang di Putrajaya mereka paling bangga sekali,” katanya.
Ditanya tentang potensi Pakatan Rakyat ketika ini, Husam berkata berlaku peningkatan kemenangan di 118 kerusi Parlimen berdasarkan maklumat daripada bilik gerakan dan boleh meningkat sehingga 122 kerusi.
“Apa yang kita jangka BN lebih panik sekarang dan petugas Pakatan Rakyat dinasihatkan agar lebih tabah dan tenang menjalankan kerja di hari-hari terakhir ini,” katanya.
FMT/-

Tiada ulasan: