24 Julai 2013

16,534 pengundi tentukan Kuala besut milik siapa ?


15 Ramadhan 1434 H. [MOD] -


Jertih: Hari ini, 16,534 pengundi berdaftar diharap menuju ke pusat pengundian sekitar Kuala Besut untuk memilih wakil rakyat baru menerusi proses Pilihan Raya Kecil (PRK) berikutan kematian penyandangnya, Dr A Rahman Mokhtar, 26 Jun lalu.

Hari ini juga, mereka menjadi penentu sama ada kerusi itu akan terus disandang Barisan Nasional (BN) melalui calonnya, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, seorang jurutera atau calon PAS, Endot @ Azlan Yusof, 48, seorang ahli perniagaan dapat melakar sejarah baru dengan menjadi pemenang dalam PRK pertama selepas PRU ke 13 yang lepas.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang mengumumkan calon partinya di Kampung Nail dengan slogan Trengganu Baru 16 : 16.

Manakala Tengku Zaihan diperkenalkan sebagai calon BN pada pelancaran jentera BN dengan slogan ‘Kuala Besut Bertambah Biru’ oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, 9 Julai lalu di Dataran Kuala Besut.


Calon PAS  Azlan@Endut Yusof atau lebih mesra dengan panggilan Che Long akan membuang undi di Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu seawal jam 8.00 pagi ini.

Calon BN yang juga bekas jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan mengundi di Sekolah Kebangsaan Kuala Besut 2.

Pertembungan calon BN dan PAS itu sekali lagi mengulangi sejarah 1979 apabila PRK terpaksa diadakan pada Ramadan berikutan kematian penyandang, Allahyarham Zakaria Muda daripada BN pada 26 Jun 1979, iaitu tarikh sama Dr A Rahman meninggal dunia iaitu 26 Jun lalu.

Tempoh berkempen selama 12 hari yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada bulan puasa kali ini turut mengubah strategi dan senario kempen PRK Kuala Besut yang majoriti penduduknya beragama Islam. 

Pada PRU-13, 5 Mei lalu, Dr Rahman menang dengan majoriti 2,434 mengalahkan calon PAS, Napisah Ismail. Lapan pusat mengundi akan dibuka hari ini membabitkan 35 saluran mengundi yang akan bermula jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali pusat mengundi di Pulau Perhentian yang akan ditutup 3 petang.

Tiada ulasan: