24 Julai 2013

Kualiti Udara Di Seri Manjung Semakin Merosot

15 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kualiti udara di Seri Manjung merosot pagi Rabu apabila mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu bacaan 119, pada pukul 8 pagi.

Menurut Jabatan Alam Sekitar dalam laman sesawangnya, bacaan IPU di kawasan itu mula meningkat kepada bacaan 117, pada 6 pagi.
Hanya satu kawasan mencatatkan kualiti udara tidak sihat pagi ini berbanding tiga pada Selasa iaitu Muar, Bukit Rambai dan Pelabuhan Klang.
"Kualiti udara di tiga kawasan tersebut semakin pulih apabila menunjukkan penurunan bacaan IPU sederhana sehingga 8 pagi, iaitu di Muar pada bacaan 56, Bukit Rambai 92 dan Pelabuhan Kelang 90, berbanding bacaan 9 pagi Selasa masing-masing 113, 115 dan 104," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, kualiti udara di SK Jalan Pegoh dan Tanjung Malim menghampiri status tidak sihat dengan bacaan IPU masing-masing 91 dan 87, diikuti Kuala Terengganu dan Kuala Selangor dengan 86.
Sebanyak 33 kawasan lain mencatatkan IPU sederhana manakala 11 kawasan masih memiliki kualiti udara yang baik, antaranya di Sabah, Sarawak dan Johor.
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya. - BERNAMA

Tiada ulasan: