24 Julai 2013

Pengangkutan di Mekah ditingkat

15 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

JEDDAH 23 Julai - Arab Saudi merancang mengutamakan kemudahan pengangkutan awam kepada 15 juta jemaah dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas semasa kemuncak musim umrah pada bulan Ramadan tahun ini.

Semua aspek dalam melaksanakan pelan dan topik berkaitan 'Kawasan Pusat Haram' telah dibincang pada satu mesyuarat Jawatankuasa Haji Pusat (CHC) yang dipengerusikan Putera Khaled Al-Faisal di sini, kelmarin.

Pelan yang diluluskan oleh Putera Khaled itu bertujuan membolehkan kira-kira 15 juta penumpang termasuk jemaah umrah dan pelancong menggunakan pengangkutan awam semasa bulan Ramadan ini.

Selain perkhidmatan Syarikat Pengangkutan Awam Saudi (SAPTCO), lima syarikat pengangkutan swasta turut ditugaskan untuk menyediakan sebanyak 1,600 buah bas ulang-alik antara beberapa kawasan di dalam bandar dan Masjidilharam sebagai satu daripada rancangan tersebut.

Pelan operasi itu yang sedang diselia oleh jawatankuasa persediaan CHC secara jelas mentakrifkan tugas dan misi bagi setiap agensi dan jabatan berkaitan tentang melanjutkan perkhidmatan dan kemudahan kepada jemaah semasa Ramadan.

Semasa berucap pada mesyuarat itu, Putera Khaled yang juga Pengerusi CHC berkata, pelan yang diterjemahkan menerusi tindakan itu menunjukkan kesungguhan dan keprihatinan Raja Abdullah bagi menyediakan perkhidmatan dan kemudahan sebaik mungkin kepada jemaah.

Beliau pada masa yang sama mengucapkan penghargaan kepada pihak yang terlibat dalam memberi perkhidmatan kepada jemaah dan pengunjung Masjidilharam, lapor Saudi Press Agency.

Mesyuarat itu turut membincangkan laporan Kementerian Haji tentang musim umrah kali ini yang menyatakan peningkatan jemaah umrah asing mencecah lima juta orang tahun ini.

Buat masa ini, terdapat kira-kira 400,000 jemaah umrah di Mekah dan Madinah. - AGENSI



Tiada ulasan: