12 September 2021

COVID-19: 19,198 kes direkod hari ini

 - Hiasan. FOTO NSTP

- Hiasan. FOTO NSTP

PUTRAJAYA: Sejumlah 19,198 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangkiti COVID-19 di negara ini mencecah 1,979,698 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sarawak kekal menjadi negeri tertinggi mencatatkan pertambahan kes harian iaitu sebanyak 5,291 kes.

Katanya, turut mencatatkan pertambahan kes baharu ialah Selangor dengan 2,347 kes, diikuti Johor (2,110), Sabah (1,717), Kelantan (1,435), Pulau Pinang (1,309), Kedah (1,256) dan Perak (1,118).

"Ia disusuli Terengganu dengan 930 kes, Pahang (584), Kuala Lumpur (376), Melaka (340), Negeri Sembilan (283), Perlis (67), Putrajaya (32) dan Labuan (tiga).

"Secara keseluruhannya, daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini, sejumlah 18,945 kes bersamaan 98.7 peratus berada dalam kategori satu dan dua manakala 253 kes atau 1.3 peratus pula kategori tiga hingga lima," katanya dalam kenyataan hari ni.

Dr Noor Hisham berkata, setakat ini terdapat 1,298 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah itu 960 kes disahkan dijangkiti COVID-19 serta 338 kes lagi disyaki dan kes dalam siasatan.

"Selain itu, 444 kes COVID-19 pula masih memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.

Mengulas mengenai kluster baharu hari ini, Dr Noor Hisham berkata terdapat 34 kluster dikesan membabitkan 17 kluster tempat kerja, dalam kalangan komuniti (14), kumpulan berisiko tinggi (dua) dan keagamaan (satu).

Katanya, kluster baharu itu dikesan di Johor (12), Kelantan (11), masing-masing tiga di Perak dan Sarawak, Pulau Pinang (dua) dan masing-masing satu di Putrajaya, Kedah dan Pahang.

Beliau berkata, sebanyak 20,980 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 ialah 1,721,713 kes. BH/-

Tiada ulasan: