12 September 2021

Jual susu unta untuk tambah pendapatan semasa sekatan Covid-19

 

Susu unta dipercayai mempunyai rasa lebih sedap dan berkhasiat berbanding susu lembu atau kambing. - WILLIAM LAILEY / CATERS NEWS

ONDON – Sebuah keluarga petani di Britain memilih untuk menjual  susu unta sebagai sumber pendapatan baharu ketika perintah berkurung Covid-19  dilaksanakan pada tahun lalu, lapor akhbar The Mirrror UK kelmarin.

Joe Fossetts, 60, dan Rebecca,50, kini memiliki 13 ekor unta yang diimport dari Emiriah Arab Bersatu (UAE). Mereka menjual susu unta kepada penduduk setempat pada harga  £20 (RM114) seliter.

“Saya memang menyukai unta sejak dahulu lagi kerana haiwan ini penyayang dan cerdik. Idea ini datang ketika perintah berkurung akibat Covid-19.

“Kami mula memerah susu unta pada April tahun lalu dan hasil susu segar yang kelihatan seperti emas putih tulen itu dijual kepada penduduk sekitar. Rasanya sangat sedap dan mendapat sambutan hangat,” kata Joe.

Sementara itu, Rebecca turut melakukan penyelidikan tentang kebaikan susu unta yang dipercayai lebih rendah lemak dan laktosa serta sarat dengan vitamin dan  mineral.

“Percaya atau tidak, susu unta juga mampu menghilangkan sakit kepala akibat mabuk dengan baik.

“Ia juga menjadikan kulit saya lebih lembut dan licin. Masalah kulit kering akibat cuaca yang saya alami juga hilang selepas mengamalkan minum susu unta,” ujarnya. – Agensi



Tiada ulasan: