12 September 2021

Manfaat peluang industri halal

 

PETALING JAYA – Manfaat berpotensi daripada industri halal yang kekal berdaya tahan dan menyumbang kepada pemulihan ekonomi global perlu diteroka dan digunakan oleh semua pihak, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut beliau, ketika pandemik Covid-19 memberi impak hebat kepada kemerosotan ekonomi global, muncul persoalan mengenai keperluan kecukupan kendiri dalam pengeluaran produk halal kritikal termasuk produk berteraskan farmaseutikal, alat perubatan dan makanan.

“Industri halal berteraskan makanan dan minuman sahaja dianggarkan bernilai dolar Amerika (AS$) 2.1 trilion (RM8.72 trilion), sementara industri ­dosmetik dan farmaseutikal halal secara kolektif bernilai AS$136 bilion (RM564.74 bilion).

“Oleh itu, terdapat banyak peluang dalam industri halal ini bukan hanya dari segi perniagaan tetapi yang lebih penting, memenuhi keperluan sesebuah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucap tama Persidangan Halal Sedunia, WHBC 2021 secara maya semalam yang dibacakan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran Halal Integra­ted Platform (HIP) iaitu platform digital yang menghubungkan pemain industri terutamanya dalam kalangan industri kecil dan sederhana (IKS), agensi kerajaan, usahawan dan pengguna dalam ekosistem halal secara keseluruhannya.

Persidangan bertemakan ‘Halal – Pemangkin Pemulihan Ekonomi Universal’ itu dihadiri oleh 3,000 delegasi dari lebih 60 buah negara.

Dianjurkan oleh Halal Development Corporation (HDC), WHBC 2021 disokong oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Sementara itu, Ismail Sabri melalui teks ucapannya turut menekankan aspirasi negara untuk dikenali sebagai Pusat Kecemerlangan Global bagi Latihan dan Profesional Halal.

“Saya berbesar hati untuk me­nyatakan HDC sendiri telah mela­tih lebih daripada 60,000 individu sejak 2007, baik di dalam dan luar negara, dalam pelbagai sektor halal antaranya melibatkan Program Eksekutif Halal dan Program Pengauditan Dalaman Halal.

“Jumlah bilangan mereka yang telah dilatih secara kolektif de­ngan pihak lain telah melebihi 250,000 orang, mencerminkan tekad kerajaan untuk kecemerlangan industri halal,” katanya.

Kosmo/-

Tiada ulasan: