12 September 2021

Pangkor dijangka dibuka kepada pelancong mulai 1 Nov

 

Bagi mencapai imuniti kelompok di Pulau Pangkor, sekurang-kurangnya 8,026 daripada keseluruhan 11,500 penduduk layak perlu divaksin. (Gambar Facebook)

BATU GAJAH: Pusat peranginan Pulau Pangkor dijangka dibuka semula kepada pelancong yang lengkap divaksin pada 1 Nov ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Nolee Ashilin Mohammed Radzi bagaimanapun berkata, keputusan pembukaan semula itu masih tertakluk kepada Majlis Keselamatan Negara, dengan cadangan itu akan dibentangkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Berdasarkan maklumat terkini yang diterima, hanya 87 individu daripada 8,026 penduduk, termasuk pengusaha pelancongan yang belum divaksin kerana mempunyai masalah kesihatan atau perlu menjalani kuarantin disebabkan menjadi kontak rapat atau dijangkiti Covid-19.

“Jadi, kita belum memenuhi syarat peratusan vaksinasi yang diperlukan bagi mencapai tahap imuniti berkelompok seperti yang ditetapkan,” katanya selepas program penyerahan bantuan barangan keperluan yang disumbangkan Dewan Perniagaan Melayu Perak kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Dewan Undangan Negeri Tualang Sekah (Zon Batu Gajah) di Masjid Kampung Batu 8 di sini.

Bagi mencapai imuniti kelompok di Pulau Pangkor, sekurang-kurangnya 8,026 penduduk layak, perlu menerima vaksin daripada jumlah keseluruhan 11,500 populasi yang diunjurkan di pulau peranginan itu.

Julai lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Syukri berkata, Program Destinasi Bebas Covid-19 Fasa 2 Pelan Pemulihan Pelancongan diperluaskan ke pulau peranginan yang menjadi tumpuan utama pelancong seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Tioman dan Pulau Pangkor.

Bernama/-

Tiada ulasan: