19 Oktober 2021

Islam dan hak asasi manusia

 

ISLAM ialah ketetapan Allah Pencipta alam dan petunjuk-Nya. Manakala, manusia dan aspek hak asasinya adalah mengikut sempadan kejadiannya tanpa melampui batas yang telah ditetapkan.

Allah yang bersifat Maha Rahmat kepada makhluk-Nya, adalah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana dalam menetapkan undang-undang kepada seluruh makhluk-Nya termasuklah manusia. Di samping itu, menetapkan hak asasi yang menjadi rukun kehidupannya laksana tiang kepada bangunan yang kukuh.


Maka, sebarang perubahan daripada ketetapan Allah SWT dan menyanggah undang-undang-Nya akan merosakkan diri manusia dan alam sekelilingnya. Hal ini demikian kerana, ia merosakkan seluruh perjalanan hidup dan peranan mereka. Firman Allah SWT:

﴿أَفَمَنْ يَمْشِي مُكِبًّا عَلَى وَجْهِهِ أَهْدَى أَمَّنْ يَمْشِي سَوِيًّا عَلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ٢٢ قُلْ هُوَ الَّذِي أَنْشَأَكُمْ وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ قَلِيلًا مَا تَشْكُرُونَ٢٣ قُلْ هُوَ الَّذِي ذَرَأَكُمْ فِي الْأَرْضِ وَإِلَيْهِ تُحْشَرُونَ٢٤ وَيَقُولُونَ مَتَى هَذَا الْوَعْدُ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ٢٥ قُلْ إِنَّمَا الْعِلْمُ عِنْدَ اللَّهِ وَإِنَّمَا أَنَا نَذِيرٌ مُبِينٌ٢٦﴾

“Maka, apakah orang yang berjalan (melalui jalan yang tidak betul dan menyebabkan dia selalu jatuh) dengan wajah tertelungkup lebih mendapat petunjuk  (dalam kebenaran) ataupun orang yang berjalan tegap dan betul (di atas) jalan yang lurus? (22)Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Allah itulah Tuhan yang menjadikan kalian, dan menciptakan bagi kalian pendengaran, penglihatan dan hati (untuk kalian bersyukur), tetapi amatlah sedikit kalian yang bersyukur.’ (23); Katakanlah lagi: ‘Dialah yang mengembangbiakkan kalian di bumi, dan kepada-Nya jualah kalian akan dihimpunkan (untuk dihisab).’ (24); Dan mereka (yang ingkar) berkata: ‘Bilakah datangnya (Hari Kiamat) yang dijanjikan itu, jika betul kalian orang-orang yang benar?’ (25); Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang kedatangan Hari Kiamat) hanya ada pada Allah, dan sesungguhnya aku hanyalah seorang Rasul pemberi peringatan yang menjelaskan.’ (26).” (Surah al-Mulk: 22-26)

Allah SWT menetapkan bagi setiap kejadian makhluk-Nya dengan mempunyai persamaan mahupun perbezaan dalam sifat fitrah yang tidak berubah. Pada masa yang sama, menangani keadaan yang berubah dan berbeza-beza dalam kejadian alam.

Terdapat makhluk yang berjasad, bernyawa, berakal, bernafsu, mempunyai roh, hidup bersendirian dan bermasyarakat. Selain itu, terdapat juga makhluk yang tiada pada dirinya sifat-sifat tersebut seperti binatang yang tidak berakal, pokok dan batu yang tidak bergerak dan para malaikat yang tidak berjasad dan bernafsu. Begitu juga makhluk yang bergerak secara tabii seperti matahari, bulan, bintang dan awan-awan yang tergantung di antara langit dan bumi.

Oleh itu, kedudukan hak asasi manusia hendaklah mengikut ketetapan Allah Pencipta alam yang meletakkan manusia dalam kalangan makhluk-Nya dengan sifat fitrah dan pada tempat yang telah ditentukan peranannya. Jika diubah dengan pendekatan yang terkeluar daripada sifat fitrahnya, laksana mengubah cara perjalanan tabii yang menjunamkan kepalanya ke bawah.

Hak asasi manusia mengikut kefahamannya adalah prinsip moral atau norma yang menggambarkan standard tingkah laku manusia tertentu, dan ia dilindungi secara berkala sebagai hak semula jadi dan undang-undang. Demikian itulah hak asasi ‘yang haknya dimiliki oleh seseorang hanya kerana dirinya manusia’ dan hak asasi yang ‘wujud dalam semua manusia’ tanpa mengira umur, asal etnik, lokasi, bahasa, agama, etnik, atau status lain. 

Hal ini berlaku di mana-mana dan pada setiap saat dalam erti kata secara universal, dan mereka bersikap sama rata dalam erti kata sama untuk semua orang. Mereka menyenaraikan beberapa perkara seperti berikut:

  • Hak untuk hidup dan menjadi warganegara, hak untuk mempunyai perumahan, hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan hak untuk memiliki harta.
  • Hak untuk memperoleh keselamatan daripada keganasan (fizikal, mental dan seksual).
  • Hak untuk mendapatkan suaka sekiranya sesebuah negara itu memperlakukan anda dengan teruk.
  • Hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil, dan dianggap tidak bersalah sehinggalah terbukti bersalah.

Hak untuk mendapatkan kebebasan hidup:   

  • Hak untuk mendapatkan pendidikan.
  • Hak untuk mendapatkan penjagaan kesihatan (rawatan perubatan).
  • Hak untuk mempercayai dan mengamalkan agama yang dikehendaki oleh seseorang.

 Hak yang berkaitan dengan seksualiti dan kelahiran:

  • Hak untuk berkahwin dan berkeluarga.
  • Hal untuk mempunyai persamaan antara lelaki dan wanita; termasuklah hak wanita.
  • Hak untuk tidak dipaksa berkahwin.

Secara konsepnya, hak asasi manusia ialah hak yang tidak boleh dipisahkan dan kebebasan yang layak bagi setiap insan sebagai seorang manusia. Hak-hak tersebut menjamin maruah dan harga diri insan manusia serta menggalakkan kebaikan insani.

Hak asasi manusia adalah berbentuk sejagat sehingga ia tidak boleh dipisahkan dan saling bergantung antara satu sama lain. Asas bagi setiap hak asasi manusia ialah kefahaman bahawa setiap insan manusia mempunyai maruah dan harga diri.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mendokumentasikan hak-hak asasi manusia yang sepatutnya dimiliki oleh setiap insan manusia. Perkara tersebut telah dinyatakan dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) pada tahun 1948 untuk memastikan maruah dan harga diri manusia adalah sentiasa dihormati dan dilindungi.

Namun, kini kita telah menyaksikan bagaimana keruntuhan jati diri manusia dalam dunia Barat contohnya keruntuhan institusi kekeluargaan. Hal ini berlaku, apabila anak sendiri menugaskan orang lain untuk menjaga ibu bapa yang tua dan uzur kerana kononnya mereka tidak cukup masa dan hak mereka untuk bekerja.  

Bahkan, kita menyaksikan berlaku ketempangan hidup manusia sehingga ada dalam kalangan mereka yang dilihat senang-lenang tiba-tiba membunuh diri.

Ada juga kalangan hartawan yang menulis surat wasiat bagi menyerahkan harta kepada anjing peliharaan kerana anjing itu yang menjadi penjaganya, bukan diserahkan wasiat kepada anak-anak dan ahli keluarganya sendiri.  

Lebih malang lagi, ada kalangan mereka yang meletakkan hak asasi manusia setaraf dengan binatang yang tidak berakal. Bahkan, ada juga kalangan mereka yang lebih mengutamakan hak binatang melebihi daripada hak manusia sendiri.

Kononnya atas nama kebebasan dan persamaan, sehingga meletakkan sesuatu tidak kena pada tempat dan ketentuan kejadiannya. Malah, menjadikan manusia lebih tidak bermoral daripada binatang. Hal ini demikian kerana, mereka boleh berkahwin sejenis, bertukar pakaian dan juga peranan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Pada awalnya mereka menerima konsep umum dalam hak asasi manusia yang telah ditetapkan oleh Islam dengan pendekatan yang fleksibel. Akan tetapi, terdapat makhluk perosak dalam kalangan manusia sendiri yang telah meminda ketetapan tersebut mengikut selera hawa nafsu dan menggunakan akal tanpa tanpa hidayah (petunjuk Allah SWT). Sehingga ia telah merosakkan keadaan dalam kehidupan manusia sendiri.

Kita menyaksikan berlakunya demonstrasi bagi menunjukkan protes terhadap kawalan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia atas nama kebebasan dan hak asasi manusia yang sudah merosakkan kehidupan sesama mereka. Keadaan tersebut menunjukkan betapa manusia sendiri telah hilang kewarasan akal yang dikurniakan Allah SWT.

Walaupun makanan yang menjadi isi perut dan nafsu jasad dapat dipenuhi, tetapi makanan akal dan rohnya tidak mencukupi. Sehingga manusia tersalah dalam memilih makanan jasad dan keperluan nafsunya juga.

Akhirnya, manusia memakan makanan yang dihalalkan kepada binatang, tetapi diharamkan kepada manusia. Sekali gus ia menyebabkan timbul pelbagai penyakit jasad dan moral. Firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا٧٠﴾

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah berikan mereka itu menggunakan berbagai-bagai kenderaan di daratan dan di lautan; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik-baik serta Kami telah melebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Surah al-Isra’: 70)

Allah SWT menetapkan manusia dengan tugas untuk beribadat kepada-Nya seperti para malaikat dan juga tugas untuk memakmurkan bumi dengan menguruskan makhluk yang lain dengan kemampuan akal dan ilmu. Termasuklah juga kemampuan jasad secara individu dan kolektif dengan bermasyarakat. Justeru, hak asasi manusia adalah berkonsepkan peranan dan hikmah mereka diciptakan oleh Allah SWT.

Masalah yang wujud ialah ada dalam kalangan manusia itu sendiri menjadi makhluk perosak yang meminda ketetapan Allah SWT. Biarkan mereka itu wujud di negara-negara Barat, walau bagaimanapun golongan ini juga mempunyai pengikutnya di Malaysia.

Hari ini mereka mula menunjukkan protes terhadap kedudukan hak asasi di negara tempat kakinya berpijak. Silakanlah melompat ke bumi lain yang dipilih, janganlah membuat kerosakan di sini.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 11 Rabi’ul Awwal 1443 / 18 Oktober 2021 – HARAKAHDAILY 18/10/2021     

Tiada ulasan: