ISLAM amat menitikberatkan hal yang berkaitan dengan kejiranan. Malah, dalam kehidupan kita hari ini, jiran adalah insan paling hampir. Setiap Muslim dituntut untuk menjaga hubungan baik sesama jiran tanpa mengira batas agama, bangsa, adat atau budaya.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda; "Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah menyakiti jirannya" (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Antara akhlak Rasulullah SAW dalam kehidupan berjiran adalah sering memberi salam kepada jiran sesama Muslim, bertanya khabar, membantu ketika kesusahan, tidak menyakiti hati jiran, memberi layanan yang baik, menziarahi ketika sakit dan menguruskan jenazah mereka apabila meninggal.
Agama Islam mengajar kita supaya tidak mengabaikan hak berjiran yang mana perlu dipenuhi sebagai tanda memuliakan mereka. Ramai antara kita terlalu sibuk dengan urusan kerja sehinggakan ada dalam kalangan masyarakat hari ini tidak mengenali siapa jirannya. Budaya memberi salam hampir tidak ada dalam kehidupan kita apatah lagi bertanya khabar mereka.
Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan susulan penularan COVID-19, penutupan sektor sosial dan ekonomi menyebabkan ramai antara kita perlu menghabiskan masa di rumah. Malah bukan sedikit rakyat Malaysia kehilangan sumber pendapatan dan ada diuji dengan masalah kesihatan. Dalam keadaan ini, kita mula belajar saling bergantung kepada ihsan jiran tetangga untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Kita dapat melihat ramai rakyat Malaysia mempunyai sifat prihatin dan dermawan. Masing-masing memainkan peranan dalam masyarakat dengan jayanya. Ramai antara kita mengambil peluang memasak untuk jiran yang diuji dengan musibah. Malah ada yang tampil memberi bantuan barang keperluan juga wang ringgit, selain tidak kurang yang memberi sokongan moral.
Di sebalik COVID-19 yang membawa musibah, kita juga sebenarnya diberi peluang mengenali jiran tetangga, merapatkan silaturahim dan menjadi peka dengan masyarakat keliling. Kita mula mengambil berat kebajikan jiran dengan memberi pertolongan mengikut kemampuan. Bukankah waktu itu, kita mula merasai nikmat hidup berjiran?
Antara tanda kebahagiaan dalam kehidupan adalah memiliki jiran yang baik. Sesungguhnya setiap tindakan menggembirakan jiran akan dibalas kebaikan oleh Allah SWT. Untuk membina hubungan baik sesama jiran bukanlah sukar selagi kita mengamalkan akhlak mulia seperti diajar Rasulullah SAW, selain tidak berprasangka sesama jiran.
Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran rentas negeri secara serentak seluruh negara bermula 11 Oktober 2021. Rakyat mula bebas untuk bergerak ke mana-mana destinasi dalam negara dan kebanyakan sektor sosial dan ekonomi juga sudah dibuka sepenuhnya.
Walaupun aktiviti harian kita akan beransur kembali kepada kehidupan sebelum datangnya COVID-19, namun diharapkan ukhuwah yang terbina bersama jiran tetangga tidak dilupakan, malah bertambah akrab dan dapat mewujudkan keharmonian hidup berjiran.
Marilah kita semua mengamalkan akhlak yang baik dan berusaha membina kehidupan berjiran yang harmoni mengikut ajaran agama Islam. Sebagai seorang Muslim, selain berusaha membaiki diri untuk menjadi jiran yang baik, kita juga boleh menadah tangan dan berdoa supaya Allah SWT kurniakan jiran yang baik juga sebagai penenang hati dan emosi.
Penulis adalah Pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Matematik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Tapah
BHARIAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan