PESHAWAR: Seorang remaja mencipta 'kasut pintar' untuk membantu orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan berjalan dan mengetahui halangan di hadapannya menerusi getaran atau bunyi dalam radius 120 sentimeter (cm).
Berasal dari Lembah Swat di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, remaja dikenali sebagai, Wasiullah, 17, mula memasuki dunia inovasi apabila memperbaiki mainan dengan bateri yang rosak, lapor Arab News.
"Orang cacat penglihatan tidak lagi memerlukan tongkat untuk berjalan dengan kasut pintar yang dipasang dengan alat sensor ultrasonik," katanya.
Guru fizik, Muhammad Farooq, berkata Wasiullah adalah pelajarnya yang paling cemerlang malah sebelum ini pernah merancang untuk menghasilkan kerusi roda baru dengan alat pandu arah, tetapi tidak dapat melakukannya kerana masalah kewangan.
"Saya yakin dia berpotensi untuk muncul sebagai saintis terkemuka jika dia mendapat bimbingan dan peluang.
"Kasut pintar untuk orang cacat penglihatan ada di negara asing tetapi harganya mahal.
"Kerajaan harus mendapatkan projek ini dan berusaha untuk komesialkannya kerana kasut yang dibuat oleh Wasiullah lebih murah," katanya.
Menerusi satu peluang, katanya, ia dapat membantu Wasiullah memperoleh pendidikan tinggi dalam bidang sains dan memperkenalkan ciptaannya di pasaran.
Wasiullah berkata, sepasang kasut pintarnya hanya menelan belanja sekitar AS$26 (RM108), tetapi dia tidak akan dapat membiayai pengeluarannya sendiri kerana perlu membiayai pengajiannya di kolej.
Walau bagaimanapun, ciptaan itu mendapat perhatian dari kerajaan tempatan.
Ketua Pengarah Sains Wilayah, Sajid Shah, berkata kasut itu akan segera dinilai oleh pakar.
"Selepas dinilai oleh saintis kami, jabatan akan mempromosikan projek kasut pintar yang diciptakan oleh Wasiullah untuk tujuan komersial," katanya. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan