19 Oktober 2021

Tak perlu layan kumpulan antivaksin

 - Foto hiasan

- Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) dicadangkan supaya 'tidak melayan' kumpulan antivaksin termasuk mengadakan sesi memberi penerangan mengenai keberkesanan suntikan kerana ia lebih mendatangkan keburukan.

Pakar Kesihatan Pekerjaan dan Kesihatan Am, Dr Hanafiah Bashirun, berkata ini kerana hasrat KKM itu dilihat akan mendatangkan lebih banyak kesan buruk yang akhirnya menggagalkan tujuan asal penganjurannya.

Selain itu, katanya, keadaan mungkin bertambah keruh jika KKM menampilkan jurucakap ketika sesi itu yang mungkin tidak bersedia 'dihujani' hujah melampau diketengahkan kumpulan antivaksin.

Beliau berkata, lebih membimbangkan jika individu terbabit berkemungkinan tergelincir daripada amalan profesionalisme ketika memberi penerangan mengenai vaksin apabila 'diterjah' secara bertubi-tubi kumpulan antivaksin.

"Kumpulan ini ekstrim, selain memang sudah ada tanggapan, persepsi dan fahaman sendiri. Macam mana pun kita terangkan sesuatu perkara mengenai kebaikan vaksin, mereka tetap akan berpegang teguh dengan doktrinnya tersendiri.

"Justeru, KKM jangan cepat melatah atau emosi dengan kumpulan antivaksin. Biarkan saja mereka... mereka ini ibarat bara api, lama kelamaan akan padam sendiri. Tambahan, bilangan mereka terlalu sedikit berbanding kumpulan lengkap vaksinasi.

"KKM wajar menggunakan medium perundangan sedia ada untuk menangani kumpulan antivaksin, jika mereka mengeluarkan kenyataan tidak tepat mengenai vaksin atau menghasut orang lain supaya tak mengambilnya," katanya kepada BH, hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali ketika di Dewan Rakyat sebelum ini berkata KKM bercadang bersemuka dengan kumpulan antivaksin untuk memberi fakta dan penerangan mengenai vaksin COVID-19 berdasarkan kajian klinikal yang sahih.

Beliau dilapor berkata, boleh mengatur perjumpaan itu dengan turut membabitkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk menjelaskan sebarang keputusan KKM tidak dibuat secara semberono, malah berdasarkan kajian dalam dan luar negara.

Khairy dalam ciapannya di Twitter semalam, pula berkata, kerajaan sudah cukup berusaha memberi penerangan mengenai kebaikan dan keberkesanan vaksin COVID-19 kepada rakyat.

Dalam pada itu, Dr Hanafiah berkata, pihaknya khuatir kumpulan antivaksin akan memanipulasi platform penerangan itu menjadi ruang untuk mereka menyebarkan dakyah yang mungkin lebih mengelirukan orang ramai.

"KKM perlu mengambil iktibar bagaimana kumpulan antivaksin mengetengahkan hujah dan pemikiran mereka di platform media sosial. Mereka mungkin boleh putar setiap fakta dinyatakan dalam sesi penerangan berkenaan untuk dijadikan bahan mengajak lebih ramai orang menjadi antivaksin.

"Tambahan, jika jurucakap ditampilkan KKM gagal mematahkan dakyah kumpulan antivaksin dan mungkin individu terbabit akan dilabel dengan pelbagai jolokan. Ia secara tak langsung membuka ruang supaya kumpulan antivaksin lebih diterima ramai.

"Kita sudah pun capai lebih 90 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi. Ia menjelaskan jumlah kumpulan antivaksin di negara ini sangat sedikit dan tak perlu diberi layanan istimewa," katanya.

Sementara itu, aktres Rita Rudaini yang sebelum ini dikaitkan sebagai antivaksin dan mahu dirinya dikenali sebagai 'prosafe', iaitu gelaran sering digunakan kumpulan penentang pelalian ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Beliau ketika diajukan soalan mengenai cadangan KKM itu hanya berkata: "Maaf, saya bukan antivaksin...boleh tanya soalan itu dekat orang yang antivaksin. Terima kasih," katanya.

bharian/-

Tiada ulasan: