01 Oktober 2021

Jepun tarik balik sepenuhnya perintah darurat COVID-19

 (Gambar fail - hiasan) Jepun menarik balik sepenuhnya perintah darurat COVID-19, hari ini. - FOTO AFP

(Gambar fail - hiasan) Jepun menarik balik sepenuhnya perintah darurat COVID-19, hari ini. - FOTO AFP

TOKYO: Jepun menarik balik sepenuhnya perintah darurat COVID-19, hari ini, untuk kali pertama dalam tempoh sejak April lalu, lapor Agensi Berita Kyodo.

Ia menyaksikan darurat yang dikenakan di bandar raya Tokyo dan 18 wilayah lain turut ditarik balik, berikutan penurunan berterusan angka kes baharu COVID-19 di seluruh negara.

Perniagaan seperti restoran dan taman tema telah bersiap sedia berdepan peningkatan jumlah pengunjung, sekali gus mengembalikan semula aktiviti sosial serta merancakkan ekonomi, di samping terus berusaha mencegah gelombang jangkitan baharu.

Sektor pelancongan juga dijangka mengalami peningkatan tempahan untuk lawatan domestik dan penginapan.

Nippon Airways Co dilaporkan menerima kira-kira 50,000 tempahan, 10 kali lebih banyak berbanding sebulan lalu.

Taman Tema Tokyo Disney dan Universal Studios Jepun pula akan meningkatkan jumlah maksimum pengunjung kepada 10,000 orang sehari berbanding 5,000 sebelum ini.

Kes COVID-19 di seluruh Jepun mencatat trend menurun selepas 25,867 kes dilaporkan pada 20 Ogos lalu, dengan merekodkan 1,576 jangkitan baharu, semalam.

Tokyo dikenakan perintah darurat pada 12 Julai lalu, kira-kira 11 hari sebelum pembukaan temasya Sukan Olimpik, diikuti Okinawa.

Pada Ogos lalu pula, darurat dikuatkuasakan di wilayah Osaka dan Fukuoka. – BERNAMA

Tiada ulasan: