01 Oktober 2021

Tinggal 3.7% lagi capai 90% vaksinasi populasi dewasa

 

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Statistik terkini menunjukkan hanya 3.7% vaksinasi sahaja lagi negara akan mencapai tahap 90% populasi dewasa lengkap menerima dua dos suntikan vaksin berdasarkan data dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Seramai 20,202,624 individu atau 86.3% daripada populasi dewasa telah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.

JKJAV turut memaklumkan, 94.2% atau 22,042,703 daripada populasi dewasa telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi keseluruhan, seramai 20,255,398 individu atau 62% telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19, manakala 72.1% atau 23,540,977 telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Selain itu, mengikut data CovidNow, seramai 52,774 atau 1.7% populasi remaja telah melengkapkan suntikan vaksin setakat semalam.

Sebanyak 329,163 dos harian diberikan semalam membabitkan kedua-dua populasi tersebut.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 43,696,743 dos.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

FMT/-

Tiada ulasan: