01 Oktober 2021

Sektor swasta disyor wajibkan vaksin

 Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) mengesyorkan supaya sektor swasta turut mewajibkan kakitangannya mengambil vaksin sebelum 1 November ini. - Foto hiasan NSTP/Luqman Hakim Zubir

Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) mengesyorkan supaya sektor swasta turut mewajibkan kakitangannya mengambil vaksin sebelum 1 November ini. - Foto hiasan NSTP/Luqman Hakim Zubir

KUALA LUMPUR: Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) mahu sektor swasta turut mengambil langkah seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mewajibkan penjawat awam mengambil vaksin sebelum 1 November ini.

Presiden APHM, Datuk Dr Kuljit Singh, berkata sektor itu tidak perlu menunggu sehingga kerajaan mewajibkan atau mengambil tindakan undang-undang terhadap kakitangan swasta berbuat demikian.

Katanya, ini kerana sudah terbukti di Malaysia dan luar negara mereka yang mendapatkan suntikan vaksin, kemungkinan untuk mendapatkan jangkitan atau berada di tahap teruk dapat dikurangkan.

"Malah kakitangan yang sudah lengkap mendapatkan suntikan vaksin juga boleh kembali bekerja untuk memulihkan ekonomi negara dan terus memberi pelbagai kemudahan kepada masyarakat," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam dilaporkan, JPA mewajibkan penjawat awam mengambil vaksin dan perlu segera melengkapkan imunisasi itu sebelum 1 November ini.

JPA memaklumkan, setakat ini seramai 16,902 atau 1.6 peratus penjawat awam belum mendaftar bagi mendapatkan pelalian berkenaan.

Beliau berkata, ketika ini kebanyakan kakitangan di hospital swasta di seluruh negara sudah mendapatkan suntikan vaksin.

Malah katanya, banyak hospital swasta yang turut mewajibkan kakitangan mendapatkan suntikan vaksin dalam usaha melindungi pesakit dan kakitangan mereka.

"Dengan penetapan beberapa polisi oleh pihak hospital termasuk ujian berkala wajib dan penempatan jawatan, ramai kakitangan yang akhirnya akur untuk mendapatkan suntikan vaksin walaupun jumlah yang enggan mengambil pada mulanya hanyalah kecil," katanya.

Justeru Dr Kuljit berharap, sektor swasta terutama yang memberikan perkhidmatan secara terus kepada orang ramai, perlu mewajibkan kakitangan mereka mendapatkan suntikan vaksin.

Bagaimanapun, sektor swasta yang tidak memberikan perkhidmatan secara terus kepada orang ramai turut perlu mewajibkan kakitangan divaksin bagi mengelak jangkitan dalam kalangan rakan sekerja.

"Tanggungjawab membendung wabak ini berada di tangan setiap pekerja tidak kira sektor awam atau pun swasta," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan vaksinasi wajib untuk semua kakitangan awam adalah petunjuk jelas kerajaan prihatin dengan masyarakat yang masih menolak untuk divaksin.

Katanya, ia bertujuan untuk terus mengurangkan jumlah kemasukan pesakit ke hospital terutama ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Seperti kita sedia maklum, ketika ini ramai bukan pesakit COVID-19 terkesan teruk apabila hospital swasta dan awam menerima terlalu ramai pesakit COVID-19 untuk dirawat.

"Jadi tindakan kerajaan yang mewajibkan kakitangan awam mendapatkan suntikan vaksin adalah terpuji dan sangat tepat pada masanya berikutan," katanya.

bharian.

Tiada ulasan: