01 Oktober 2021

Negara miskin dibelenggu hutang BRI China

 Paparan peta menunjukkan jajaran Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) di Chengdu International Railway Port, China. - Foto AGENSI

Paparan peta menunjukkan jajaran Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) di Chengdu International Railway Port, China. - Foto AGENSI

BEIJING: Projek Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China yang menjanjikan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan menyebabkan negara negara miskin kini dibebani 'hutang tersembunyi' bernilai AS$385 bilion (RM1.6 trilion).

Pengarah Eksekutif AidData, Brad Parks, memberitahu AFP bahawa menurut kajian antarabangsa dijalankan agensi itu, lebih satu pertiga daripada projek berkenaan terpalit skandal rasuah, penyelewengan dan bantahan.

AidData menjelaskan, perkara itu berlaku disebabkan kesepakatan yang tidak jelas antara bank negara anggota dan perusahaan berkaitan di bawah kempen pelaburan Presiden Xi Jinping-BRI itu.

Kajian turut menunjukkan, kebanyakan perjanjian atau kontrak yang dimeterai kini menyebabkan puluhan negara berpendapatan rendah terikat dengan hutang keterlaluan, yang tidak termasuk dalam imbangan kewangan mereka.

China difahamkan melabur lebih AS$843 bilion (RM3.5 trilion) untuk membina jalan raya, jambatan, pelabuhan dan hospital di 163 negara sejak program itu diumumkan pada 2013, termasuk sebahagian besar negara di seluruh Afrika dan Asia Tengah.

Parks berkata, hampir 70 peratus daripada peruntukan itu dipinjamkan kepada bank atau usaha sama antara perusahaan China dan rakan kongsi tempatan di negara yang terhutang budi kepada Beijing.

"Banyak negara miskin tidak dapat membuat pinjaman, jadi (China) menjadi sangat kreatif menawarkan pinjaman dengan syarat yang lebih menguntungkan sebelah pihak.

"Pinjaman diberikan kepada 'kumpulan orang selain pemerintah pusat' tetapi sering disokong oleh jaminan pemerintah untuk membayarnya jika pihak lain tidak dapat berbuat demikian.

"Kontrak itu kabur dan pemerintah sendiri tidak mengetahui nilai hutang sebenar kepada China," katanya.

AidData mendakwa, hutang yang tidak dilaporkan itu bernilai kira-kira AS$385 bilion (RM1.6 trilion), berdasarkan kajian mereka.

AidData menyenaraikan 45 negara berpendapatan rendah dan sederhana yang kini mempunyai hutang kepada China, lebih tinggi daripada 10 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mereka.

Kadar hutang kepada China yang terlalu tinggi itu mendorong penduduk kebanyakan negara yang terbabit mengadakan tunjuk perasaan, seperti mana yang berlaku di India, Pakistan dan Sri Lanka.

Penduduk setempat mula menyedari mereka hanya mendapat sedikit keuntungan manakala militan pemberontak melancarkan serangan yang bertujuan mensabotaj pelaburan China.

Parks berkata, banyak pemimpin asing yang pada awalnya bersemangat untuk mengikuti BRI, kini menangguhkan atau membatalkan projek infrastruktur China kerana bimbang terhadap beban hutang berpanjangan.

AidData turut mendapati pinjaman Beijing menuntut kadar faedah yang tinggi dan tempoh pembayarannya adalah lebih pendek.

Parks berkata, BRI 'bukan skim besar untuk membangunkan pakatan negara serantau', seperti digambarkan oleh Beijing, sebaliknya China hanya mahu mengaut keuntungan mudah tanpa risiko. - AFP

Tiada ulasan: