01 Oktober 2021

Mohon doakan kesihatan saya – Ustaz Kazim

 

Ustaz Kazim menunjukkan gambar keadaan kaki kirinya yang membengkak.

IPOH – Pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim ketika ini berada dalam keadaan kurang sihat dipercayai terkena buatan orang.

Perkara tersebut dimaklumkan menerusi perkongsian sebuah video live di laman Facebook milik beliau semalam termasuk menunjukkan gambar kotak berisi objek yang ditemui di pusat pengajiannya.

Menerusi paparan itu, beliau mendedahkan punca sebenar kaki dan betis kirinya membengkak sehingga menyukarkannya untuk berjalan.

“Ini dijumpai di tempat laluan tempat saya mengajar di al-Barakah (Pusat Pendidikan al-Barakah di Manjoi). Laluan itu untuk saya sahaja. Kita jumpa abu dan dalam abu itu ada gambar saya yang dibakar.

“Saya tunjukkan sebagai satu pengajaran. Selepas kejadian ini kaki saya membengkak. Mula-mula kita ingat bisul, rupanya bukan.

“Kaki kiri saya membengkak dan nak sentuh, jalan pun tak boleh. Ini kadang-kadang kita pun tak tau apa benda. Cuma kita pandang baik pada Allah SWT, Allah bagi ini nak naikkan darjat, nak hapuskan dos akita. Insyallah, Allah maha mengetahui,” dedah beliau.

Kata Ustaz Kazim, bagaimanapun beliau masih bertahan dengan kesakitan itu dan berharap tidak dimasukkan ke hospital.

“Sejak dua minggu kita buat rawatan Islam, pelbagai ubat dah kita guna dan alhamdulilah keadaannya banyak berubah cuma masih sakit,” ujarnya.

Jelas Ustaz Kazim, kesukaran yang ditanggung juga tidak menghalang beliau untuk terus mengajar kerana itu merupakan tugas yang paling disukai beliau.

“Macamana pun saya tetap nak mengajar. Ubat saya adalah melakukan apa yang saya suka. Yang saya suka adalah mengajar orang,” ujarnya.

Sejak dua minggu lalu beliau tidak dapat berjalan disebabkan bengkak kaki dan menggunakan topang ketiak sebagai sokongan untuknya berjalan, malah pada minggu lalu beliau terpaksa menggunakan kerusi roda.

Sakit kaki itu juga menyebabkan beliau terpaksa bersolat menggunakan kerusi roda.

Dalam pada itu, Ustaz Kazim turut memohon doa orang ramai untuk kesembuhan dirinya. – K! ONLINE

Tiada ulasan: