30 November 2021

Pas ekspatriat kini siap 1 minit berbanding 30 hari

 

HAMZAH Zainudin melancarkan secara rasmi pembukaan premis ESC di aras tiga, balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). -UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR

SEPANG: Bahagian Perkhidmatan Ekspatriat (ESD) hari ini melakar sejarah apabila mampu memproses Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi pegawai dagang asing hanya dalam tempoh seminit.

Kejayaan itu turut mendapat pujian Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin sambil menyifatkan tempoh tersebut paling pantas di dunia berbanding sebelum ini 30 hari.

“Insya-Allah, memang cepat dan tadi, saya kebetulan uji, melibatkan seorang ekspatriat sebuah kilang pembuatan besi, segalanya siap lengkap dalam seminit,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan secara rasmi pembukaan premis Pusat Satelit ESD (ESC) di aras tiga, balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Turut hadir menyaksikan program itu ialah Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Pewujudan ESC pertama di negara ini membolehkan ekspatriat terus dapat bekerja di negara ini setelah tiba di KLIA dengan diberi pelekat pas imigresen tanpa perlu menunggu sebulan.  

Sebaliknya, individu itu hanya perlu mendapat surat kelulusan pas tersebut dari kedutaan Malaysia di luar negara dan majikan sudah membuat bayaran pemprosesan secara atas talian.

Ekspatriat tersebut tidak lagi perlu menunggu majikannya membuat temujanji atas talian bagi tempah slot giliran di pejabat imigresen sebelum membayar dan mendapat pelekat pas itu.

Mengulas lebih lanjut, Hamzah berkata, kejayaan ESC itu merupakan antara Indeks Petunjuk Utama (KPI) yang telah berjaya dicapai pihak kementerian berkenaan dalam tempoh 100 hari.

“Alhamdulilah, maka dengan ini, saya boleh mengumumkan kementerian sudah pun lengkap 100 peratus KPI ditetapkan Perdana Menteri di bawah aspirasi Keluarga Malaysia,” jelasnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan satu lagi ESC akan turut dibuka di KLIA2 sekiranya ada ramai ekspatriat yang didapati sering menggunakan terminal penerbangan kos rendah tersebut.

Dengan beroperasi 24 jam sehari, beliau bagaimanapun menegaskan tiada cadangan bagi membuka ESC di pintu masuk sempadan yang lain kerana mahu ia lebih berfokuskan di KLIA.

Ketika ini, ujarnya, Jabatan Imigresen merekodkan sejumlah 86,280 ekspatriat aktif menetap di seluruh negara yang turut melibatkan seramai 140,000 individu di bawah tanggungan mereka.

Daripada bilangan aktif itu, kira-kira 40,948 ekspatriat kategori 1 iaitu jawatan pengurusan tertinggi dengan paling ramai ialah rakyat India diikuti China, Jepun, Filipina dan Indonesia.

Justeru, jelasnya, pihak kementerian sedang menjalankan kajian menyeluruh sehingga akhir tahun ini bagi mengkaji semula tiga kategori ekspatriat yang layak boleh menggunakan ESC.

“Buat masa ini, semua jenis ekspatriat dibenar datang ke ESC walaupun mungkin gaji bulanan hanya RM3,000 tetapi selepas kajian itu, cuma kelompok tertentu yang ditetapkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: