Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Kerajaan membantu penternak ayam mengurangkan kos operasi dengan menyediakan pinjaman mudah sebagai antara usaha memastikan harga ayam di pasaran dapat distabilkan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Seri Alexander Nanta Linggi, berkata bantuan itu adalah antara hasil libat urus kementeriannya dengan pelbagai pihak yang terbabit dengan penawaran bekalan ayam di negara ini.
Katanya, penternak ayam memohon kepada kerajaan supaya tidak memberi subsidi makanan ayam kerana kos operasi bukan hanya makanan ayam, tetapi buruh.
“Hasil permintaan mereka, kita sediakan pinjaman mudah supaya dapat kurangkan kos operasi. Selepas ini, barulah kita akan letakkan harga had maksimum di peringkat pengeluaran, borong dan runcit.
“Jangan risau, biarpun saya baru di kementerian ini, perkara ini sudah lama berlaku dan pegawai kita sangat memahami masalah ini,” katanya menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) ketika sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Alexander berkata, Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, turut mengumumkan peruntukan bantuan sebanyak RM262 juta untuk membantu peladang yang terjejas akibat kenaikan harga baja dan racun.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM200 juta disediakan sebagai pinjaman agromakanan pada kadar sifar faedah dengan moratorium bayaran balik selama enam bulan melalui Agrobank dan Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga (TEKUN Nasional) untuk manfaat pengeluar agromakanan bagi menangani kos pengeluaran yang tinggi di peringkat ladang,” katanya.
Sementara itu, katanya pihaknya sedia mempertimbangkan untuk mengadakan Program Jualan Keluarga Malaysia dengan lebih kerap seperti cadangan Pasir Mas.
Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia mulai Sabtu ini yang menawarkan harga jualan 15 hingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.
Katanya, program jualan ini akan dilaksanakan di seluruh negara membabitkan 222 kawasan Parlimen sebanyak dua kali sebulan.
“KPDNHEP mendapat kerjasama agensi dan jabatan kerajaan lain bagi memastikan jualan barangan keperluan asas pengguna ini sampai kepada Keluarga Malaysia yang terkesan dengan kenaikan harga barangan,” katanya.
Sementara itu menjawab soalan asal Lim Guan Eng (PH-Bagan), Alexander berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedang merangka strategi hasil perbincangan dua hala bersama industri, termasuk cadangan membenarkan pengimportan ayam bulat dari loji pemprosesan luar negara yang mendapat pengesahan Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebagai langkah sementara bagi meningkatkan bekalan dan menstabilkan harga pasaran.
Katanya, KPDNHEP juga akan memanjangkan tempoh dan memulakan pelaksanaan Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan (SKHMP) lebih awal menjelang Krismas, dengan tarikh pelaksanaannya akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
“Saya ingin memberikan amaran di sini, tiada pihak cuba untuk menaikkan harga lebih awal. Kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga kerana kenyataan awal saya ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/11/21
Tiada ulasan:
Catat Ulasan