30 November 2021

Pengganti pilihan Duterte tarik diri bertanding pilihan raya presiden

 Christopher Go (kanan) berkata, keputusannya untuk menarik diri juga adalah untuk mengelak daripada menimbulkan ‘lebih banyak masalah’ kepada Presiden Rodrigo Duterte (kiri). - Foto AFP

Christopher Go (kanan) berkata, keputusannya untuk menarik diri juga adalah untuk mengelak daripada menimbulkan ‘lebih banyak masalah’ kepada Presiden Rodrigo Duterte (kiri). - Foto AFP

MANILA: Pengganti pilihan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengumumkan penarikan diri bagi bertanding dalam Pilihan Raya Presiden 2022.

"Belum tiba masanya untuk saya," kata Senator Christopher Go, pembantu rapat presiden, yang mencalonkan diri bagi pilihan raya tahun depan dua hari sebelum tarikh tamat pencalonan pada 15 November lalu, yang sebelum itu mendaftar untuk bertanding jawatan naib presiden.

Penarikan pencalonan secara mengejutkan itu menyukarkan peluang untuk Duterte meletakkan calon menggantikannya, yang mana ketika ini mengikut perlembagaan, Presiden itu tidak boleh bertanding selepas memegang jawatan dua penggal selama enam tahun.

Dueterte kini sudah mencalonkan diri bagi bertanding untuk Senat.

"Keluarga saya tidak mahu saya bertanding, maka saya fikir mungkin ini belum masa untuk saya," katanya kepada pemberita.

Go berkata keputusannya untuk menarik diri juga adalah untuk mengelak daripada menimbulkan 'lebih banyak masalah' kepada Duterte, yang dianggapnya 'lebih daripada sebagai seorang bapa'.

"Saya tetap setia kepadanya dan berjanji akan bersamanya selama-lamanya.

"Dalam beberapa hari lalu saya menyedari bahawa hati dan fikiran saya bercanggah dengan tindakan saya sendiri," katanya.

Kebanyakan penganalisis percaya Go mempunyai peluang yang cerah untuk memang dalam pilihan raya Mei nanti, walaupun ramai menjangkakan beliau paling berkemungkinan melindungi Duterte daripada tuduhan jenayah di Filipina, dan siasatan Mahkamah Jenayah Antarabangsa dalam pembabitan perang dadah yang menyebabkan banyak kematian.

"Dari awal lagi beliau melancarkan kempen yang suam-suam kuku dan sangat jelas sememangnya beliau terpaksa melakukannya atas desakan Presiden Duterte," kata Jean Franco, seorang profesor sains politik di Universiti Filipina.

Hasil tinjauan institut penyelidikan sosial, Social Weather Stations baru-baru ini mendapati, anak lelaki bekas diktator Ferdinand Marcos mendahului senarai pemilihan Presiden itu.

Tinjauan itu mendapati Naib Presiden yang juga pengkritik kuat Duterte, Leni Robredo berada disenarai kedua diikuti, selebriti utama yang juga Datuk Bandar Manila, Francisco Domagoso dan jura tinju Filipina, Manny Pacquiao.

Duterte menjadi sekutu keluarga Marcos yang kontroversi, yang kini berada dalam buangan di Amerika Syarikat selepas kejatuhan memalukan pada 1986.

Baru-baru ini, Duterte secara terbuka mengkritik Marcos Jr, dan menyifatkan sebagai 'pemimpin yang lemah... dibebani dengan kelengkapan'.

Ramai menjangkakan anak perempuannya, Sara Duterte, akan bertanding merebut jawatan presiden, namun beliau sekadar menghantar pencalonan untuk jawatan naib presiden, jawatan yang memegang kuasa yang sangat kecil, yang membentuk pakatan dengan Marcos Jr.

"Dengan pengunduran Go dalam 'perlumbaan pilihan raya yang sengit' membuka peluang mengukuhkan 'kuasa politik' Marcos Jr dan Sara," kata Franco.

Namun, beliau meragui keikhlasan Duterte menyokong Marcos Jr bagi mengantikannya.

Keputusan Go menarik diri itu dibuat selepas seminggu kecoh kes calon presiden dan naib presiden terkemuka mengambil ujian dadah selepas Duterte menuduh salah seorang calon yang tidak dinamakan menghidu kokain. - AFP

Tiada ulasan: