30 November 2021

Semua bakal jemaah haji masih diberikan subsidi

 

IDRIS Ahmad menyantuni kumpulan pertama 228 orang jemaah umrah diuruskan Amal by Malaysia Airlines di KLIA, Sepang. - FOTO/FAIZ ALIF ZUBIR

SEPANG: Kerajaan memberi jaminan bahawa semua bakal jemaah haji negara ini masih lagi diberikan subsidi kecuali yang mahu memilih pakej swasta dan sanggup membayar kos lebih.

Demikian bayangan awal disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad yang memberi gambaran kemungkinan subsidi akan terus dinikmati seperti biasa.

“Tabung Haji memang setiap tahun akan buka permohonan untuk bakal jemaah yang tidak mahu mengambil subsidi melalui pakej dikendalikan agensi swasta, tetapi jumlahnya tidak ramai.

“Justeru, setakat ini, begitulah (subsidi) diteruskan sebagaimana biasa sebelum isu Covid-19 timbul tahun lepas, namun perkara muktamad itu belum lagi dibincangkan oleh Kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni kumpulan pertama 228 orang jemaah umrah diuruskan Amal by Malaysia Airlines selepas hampir dua tahun ia tidak beroperasi.

Mereka berlepas menaiki penerbangan MH 8216 pesawat jenis Airbus A330 terus ke Madinah, Arab Saudi pada pukul 3.25 petang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini.

Semalam, bekas menteri berkenaan, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa pada sidang akhbar di Parlimen menggesa kerajaan cuma melaksanakan subsidi haji secara bersasar kepada yang layak.

Langkah itu didakwa konon mampu mengurangkan beban kewangan Tabung Haji dan mengubah pendekatan kerajaan Barisan Nasional selama ini menawarkan subsidi kepada semua jemaah.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu merujuk kenyataan Datuk Ahmad Marzuk Shaary pada Sabtu lalu yang menjangka kos haji pada tahun depan meningkat lebih 50 peratus disebabkan pelbagai faktor.

Mengulas lanjut, Idris berkata, jumlah yang menolak subsidi dan tidak mahu menggunakan pakej muassasah secara am adalah kurang 20 peratus daripada keseluruhan jemaah pada setiap tahun.

“Bagi individu yang berkemampuan sedia bayar lebih mahal, mereka akan tolak subsidi ditawarkan oleh Tabung Haji menerusi surat maklum balas penerimaan tawaran ibadah tersebut,” katanya.

Sebelum Malaysia tidak menghantar jemaah haji pada musim 1441H/2020M lalu ekoran isu Covid-19, sejumlah 7,000 individu memilih pakej yang disediakan oleh 22 agensi haji swasta berdaftar.

Ia melibatkan pakej paling mahal berharga RM160,000 bagi seorang jemaah dan paling murah pula ialah RM40,000 dengan tahap kualiti perkhidmatannya dipantau ketat oleh pihak Tabung Haji.

Bagaimanapun, untuk bakal jemaah yang memang tidak berkemampuan, mereka hanya dikenakan bayar kos asas sebanyak RM9,980 seorang dan kadar itu tidak pernah dinaikkan sejak 2009.

Idris namun enggan mendedahkan jumlah sebenar kos ibadah rukun fardu tersebut kerana belum lagi mendengar taklimat daripada pihak Tabung Haji sebelum dibentangkan kepada Kabinet.

“Insya-Allah saya akan umum dalam masa terdekat nanti selepas mesyuarat jemaah menteri bersetuju dengan kadar baharu tetapi buat masa ini, subsidi kekal untuk semua,” jelasnya. – UTUSAN

Tiada ulasan: