30 November 2021

Nikmati daging premium, harga mampu milik

 

Saheran (kanan) dan Mohd. Shazwan menunjukkan menu unik dan popular di restoran mereka di Ampang baru-baru ini.

PETALING JAYA – Secara kebetulan seorang usahawan yang sebelum ini memiliki berat badan lebih 100 kilogram dan sedang berusaha menjaga diet pemakanannya bagi mengelakkan da­ripada terjebak dengan penyakit diabetes serta obesiti lebih serius, telah berjaya membangunkan perniagaan unik berasaskan da­ging premium.

Saheran Hamid, 45, telah me­laksanakan pelbagai jenis diet sehinggalah beliau menemui formula terbaik bersesuaian dengan tahap kesihatan dirinya untuk menurunkan berat badan kepada lebih 30 kilogram secara sihat hanya dengan menikmati daging premium yang dimasak sendiri di rumah.

Kaedah pemilihan daging yang dipotong ikut berat yang sesuai, diperap ringkas di dalam peti sejuk dan seterusnya dimasak di dapur mengikut masa yang singkat telah mendorong beliau membuka syarikat, Just Sear.

“Pada mulanya, saya suka menjamu rakan-rakan menikmati daging premium di rumah kemudian atas permintaan ramai, saya telah mempromosikannya di platform media sosial, sete­rusnya mula mendapat sambutan yang baik,” katanya ketika ditemui di restorannya di Ampang baru-baru ini.

Just Sear adalah jenama popular restoran unik yang menawarkan hidangan berasaskan daging premium seperti stik tomahawk, short ribs dan banyak lagi pada harga mampu milik

Daging berkualiti tinggi itu perlu dinyahbekukan mengikut masa yang ditetapkan seterus­nya daging tersebut dipanggang hanya selama dua minit.

Melalui sambutan dan tempahan yang semakin bertambah sehingga melibatkan sehingga 100 kilogram daging, Saheran telah mencari lokasi baharu untuk cawangan sulungnya di Kuala Lumpur tetapi terpaksa ditangguhkan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Bagaimanapun, operasi perniagaan diteruskan secara jualan online dan pelanggan masih boleh menikmati daging premium tatkala mereka berada di rumah hanya dengan memasaknya menggunakan kuali, grill, ketuhar atau air fryer.

“Sepanjang lapan bulan kami beroperasi, jualan telah berjaya mencecah kepada RM1 juta dan ini satu petunjuk positif bahawa perniagaan ini akan terus maju,” jelasnya.

Melalui sokongan daripada rakan niaganya, Mohd. Shazwan Mohd. Noh dan kakitangan sokongan yang lain, beliau kini merancang untuk mengembangkan perniagaan tersebut.

KOSMO.

Tiada ulasan: