30 November 2021

KKM kesan 25 kes positif di Parlimen

 Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

PUTRAJAYA: Sebanyak 25 kes positif COVID-19 yang dikesan melalui saringan berkala pada Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-14 semalam, berkemungkinan besar adalah varian delta.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia dikesan melalui saringan ujian PCR Genotyping Assay.

Bagi mengesahkan jenis varian, katanya, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sudah menjalankan penjujukan genom dan masih menunggu keputusan penuh.

"Kes yang dikenal pasti ini mempunyai kadar kebolehjangkitan

dengan nilai ambang RT PCR antara 13.70 hingga 36.11," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sehingga kini, katanya, sebanyak 84 kes positif COVID-19

disahkan menerusi ujian RT-PCR.

Katanya, 18 kes dikenal pasti hasil saringan prapersidangan Dewan Rakyat antara 22 hingga 25 Oktober lalu.

Dr Noor Hisham berkata, tindakan kawalan dan pencegahan sudah dijalankan dan semua kes diasingkan.

Katanya, siasatan mendapati kes terbabit tiada kaitan epidemiologi dan tiada kluster dilaporkan.

"Ketika persidangan Dewan Rakyat, sebanyak 41 kes dilaporkan antara 27 Oktober sehingga 28 November

lalu.

"Kes berkenaan diasingkan segera dan tiada kluster dilaporkan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pasukan kesihatan dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya giat melakukan pengesanan kontak rapat serta penilaian risiko bagi mengenal pasti punca jangkitan.

Katanya, ia bagi memastikan tindakan lanjut dapat dilakukan segera.

"Aktiviti nyahkuman turut dijalankan di kawasan sekitar Parlimen.

"Status kesihatan semua kes positif COVID-19 dan kontak rapat serta kes baharu yang dilaporkan dalam tempoh inkubasi akan dipantau.

"Justeru, individu yang hadir ke Parlimen perlu memantau kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera.

"Jika bergejala, jangan hadir ke Parlimen, jalani ujian saringan COVID-19 dan segera dapatkan rawatan," katanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: