30 November 2021

Eksport negara dijangka berkembang 25 peratus tahun ini

 Eksport Malaysia berkembang lebih pantas sebanyak 25.5 peratus pada Oktober 2021 - Foto hiasan

Eksport Malaysia berkembang lebih pantas sebanyak 25.5 peratus pada Oktober 2021 - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: AmBank Research menjangkakan eksport berkembang sekitar 23 peratus hingga 25 peratus pada 2021, yang jauh lebih baik daripada penguncupan 1.1 peratus yang direkodkan pada 2020, kerana permintaan dari luar dilihat kekal bagi baki bulan tahun ini.

Firma penyelidikan itu berkata pemulihan global, ditambah dengan pembukaan semula sektor domestik dengan lebih meluas, juga meningkatkan eksport Malaysia.

"Namun begitu, kami tetap berhati-hati terhadap jangkitan COVID-19 dan kekangan berterusan dalam rantaian bekalan global yang boleh menjejaskan kekuatan pertumbuhan dalam sektor perdagangan Malaysia," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Pada Oktober 2021, eksport Malaysia berkembang lebih pantas sebanyak 25.5 peratus tahun ke tahun kepada rekod baharu yang bernilai RM114.4 bilion, melebihi 24.7 peratus pertumbuhan pada September dan unjuran konsensus pasaran sebanyak 25.0 peratus, mencerminkan keadaan permintaan luaran yang sihat yang mampan di tengah-tengah kemajuan dalam pemulihan ekonomi global.

Pada asas bulanan pula, eksport meningkat 3.2 peratus bulan ke bulan walaupun pada kadar yang lebih perlahan berbanding 15.9 peratus pada September 2021, menjadikan purata eksport untuk 10 bulan pertama 2021 kepada 26.5 peratus, jauh lebih tinggi daripada ramalan AmBank Research sebanyak 23 peratus.

Firma penyelidikan itu berkata, prestasi perdagangan asing yang teguh dan pertumbuhan ekonomi global yang sihat terus menyokong prestasi eksport yang kukuh, dengan elektronik dan elektrik, produk petroleum, minyak sawit dan bahan kimia semuanya mendapat manfaat secara positif.

"Perdagangan kita juga meningkat disebabkan harga komoditi yang kukuh serta import yang terus pulih. Ini dijangka berkembang pada bulan-bulan akan datang berikutan keadaan perniagaan yang bertambah baik dan aktiviti ekonomi domestik berikutan kelonggaran sekatan dan pembukaan semula ekonomi," kata AmBank Research.

Ia menambah, faktor positif lain ialah kelulusan untuk membawa masuk 32,000 pekerja asing bagi mengurangkan kekurangan tenaga buruh, yang akan meningkatkan keupayaan firma untuk memenuhi pesanan eksport.

Walau bagaimanapun, peningkatan jangkitan COVID-19 dan kekangan berterusan dalam rantaian bekalan global akan bertindak sebagai risiko yang menjadi faktor penurunan utama, yang boleh menjejaskan kekuatan dalam pertumbuhan sektor perdagangan Malaysia, kata AmBank Research.

-BERNAMA

Tiada ulasan: