Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melaporkan lebih 90 peratus perusahaan mikro tidak dapat mengekalkan daya tahan dan kemampanan ketika tempoh pandemik.
Berdasarkan laporan Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD): 'COVID-19 and E-commerce: A Global Review' adaptasi digital dalam kalangan usahawan mikro agak perlahan disebabkan masalah jurang digital.
Punca pertama jurang digital adalah ketidakseimbangan pembangunan antara wilayah atau kawasan. Tsunami digital berlaku lebih pantas di bandar berbanding luar bandar kerana prasarana dan perkhidmatan jalur lebar lebih baik serta masyarakat lebih celik teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).
Punca kedua, ketidakseimbangan status pendapatan dalam komuniti. Golongan miskin bandar agak terkebelakang dalam adaptasi digital kerana tidak mampu memiliki peranti mudah alih serta akses pakej internet lebih stabil dan laju.
Program transformasi digital Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) dilancarkan baru-baru ini adalah penyelesaian tepat untuk mengurangkan jurang digital.
Hasil kolaborasi dengan industri telekomunikasi, kerajaan melancarkan Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia.
Kedua-dua pakej ini dapat membantu usahawan mikro memiliki peranti mudah alih dan akses internet lebih baik bagi memudahkan penjanaan pendapatan secara dalam talian.
PEDi juga menawarkan latihan berasaskan ICT kepada usahawan tiada pengetahuan dan kemahiran dalam perniagaan e-dagang. Ia platform usahawan meningkatkan profesionalisme dalam perniagaan.
Pandemik COVID-19 mengajar penting pengendalian perniagaan sistematik dan digital. Lupakan kaedah perniagaan manual, menggunakan pen dan kertas serta menunggu pelanggan datang ke kedai.
Transformasi digital perlu dilakukan segera kerana masyarakat hari ini cenderung menggunakan e-dagang.
Kajian Hubspot di Amerika Syarikat (AS) mendapati 60 peratus pengguna telefon pintar mencari barang ingin dibeli menerusi enjin carian di internet. Trend sama berlaku di negara ini.
Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan pendapatan e-dagang pertubuhan melonjak ketara sejak pandemik bermula. Pendapatan e-dagang meningkat 32.7 peratus pada tahun lalu berbanding 2019.
Dalam tempoh sembilan bulan pertama 2021, pendapatan e-dagang merekodkan RM801.2 bilion, meningkat 23.1 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Pertumbuhan positif dalam e-dagang seharusnya menjadi pemangkin penerokaan pasaran digital dalam kalangan usahawan mikro.
PEDi menyediakan latihan dan kursus keusahawanan digital supaya usahawan lebih profesional dalam pengendalian tempahan, pembayaran dan penghantaran. Banyak alat digital dan aplikasi percuma boleh digunakan menerusi telefon pintar.
Contohnya, usahawan mikro boleh gunakan media sosial seperti Page di Facebook untuk pemasaran, Google (pengurusan dalaman) dan WhatsApp (komunikasi pekerja serta interaksi pelanggan).
Pelbagai mod bayaran tanpa tunai seperti FPX dan DirectDebit boleh digunakan untuk pembayaran dalam talian yang selamat.
Jika usahawan ingin bangunkan tapak web sendiri dan menghadapi kekangan bajet, kerajaan menawarkan Geran Padanan Digitalisasi Perusahaan Kecil dan Sederhana untuk tujuan itu.
PEDi berpotensi menjadi hab usahawan desa membina jaringan profesional antara mereka yang saling bertukar fikiran dan berkongsi pengalaman mengurus perniagaan digital seperti kejayaan mengurus risiko serangan siber serta risiko logistik.
Mereka juga boleh menjalin usaha sama bagi meningkatkan kecekapan operasi dan mewujudkan sinergi pasaran agar perniagaan lebih berdaya tahan dan mampan.
Kerajaan perlu segera menggerakkan PEDi supaya dapat membantu usahawan mikro meneroka perniagaan digital secara profesional.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia
BHARIAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan