21 November 2021

PM Sudan, Abdalla Hamdok dilantik semula

 

KHARTOUM: Tentera Sudan merancang untuk mengembalikan semula kuasa kepada Perdana Menteri, Abdalla Hamdok yang digulingkan dan membebaskan pemimpin awam ditahan dalam rampasan kuasa yang berlaku pada bulan lalu.

Lapor Al Jazeera, perkara ini diumumkan oleh sekumpulan mediator warga Sudan yang turut mengeluarkan kenyataan mengenai perjanjian itu.

Ketua Parti Umma, Fadlallah Burma Nasir mengesahkan perjanjian berkenaan kepada pemberita.

“Satu perjanjian politik dicapai antara Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, Abdalla Hamdok, ahli politik dan organisasi masyarakat sivil untuk mengembalikan jawatan tertinggi itu kepada Abdalla serta membebaskan tahanan politik,” katanya.

Menurut Fadlallah, Abdalla akan membentuk Kabinet bebas yang merangkumi golongan teknokrat.

Jelasnya, semua tahanan politik akan dibebaskan dibawah perjanjian antara tentera dan parti politik.

Tambah Fadlallah, beliau mengambil bahagian dalam mesyuarat diadakan semalam yang mana para mediator mencapai persetujuan.

Perjanjian itu dibuat selepas lebih tiga minggu Abdel Fattah menggagalkan peralihan Sudan ke arah pemerintahan awam dengan rampasan kuasa tentera.

Pada 25 Oktober lalu, Abdel Fattah mengisytiharkan darurat, membubarkan kerajaan sementara dan menahan beberapa pemimpin awam.

Abdalla diletakkan dibawah tahanan rumah apabila tentera melakukan rampasan kuasa.

Tindakan rampasan kuasa itu menerima kecaman hebat daripada komuniti antarbangsa dan mencetuskan tunjuk perasaan penduduk di negara itu. – AGENSI

Tiada ulasan: