21 November 2021

Wartawan terkenal Somalia maut dibom

 Pengarah Radio Mogadishu, stesen radio milik kerajaan, Abdiaziz Mohamud Guled maut dalam serangan berani mati di Mogadishu, semalam. - Foto Google

Pengarah Radio Mogadishu, stesen radio milik kerajaan, Abdiaziz Mohamud Guled maut dalam serangan berani mati di Mogadishu, semalam. - Foto Google

MOGADISHU: Seorang wartawan Somalia terkenal yang juga pengkritik tegar kumpulan militan Al-Shabaab, dibunuh oleh seorang pengebom berani mati ketika keluar daripada sebuah restoran di Mogadishu.

Al-Shabaab turut mengaku dalang insiden letupan dan pihak berkuasa berkata, ia membunuh Abdiaziz Mohamud Guled, yang juga Pengarah Radio Mogadishu, stesen radio milik kerajaan.

Serangan semalam itu turut mencederakan dua lagi individu iaitu Pengarah Televisyen Kebangsaan Somalia, Sharmarke Mohamed Warsame serta seorang pemandu.

"Semoga tuhan merahmati Abdiaziz Mohamud Guled. Negara kehilangan seorang lelaki yang berani," kata Timbalan Menteri Maklumat Somalia, Abdirahman Yusuf Omar dalam satu kenyataan.

Pegawai kerajaan, Ismael Mukhtar Omar yang juga rakan sekerja mangsa, berkata kepada AFP, polis mengesahkan kejadian itu berpunca daripada serangan pengebom berani mati.

"Dia keluar daripada restoran dan menuju ke keretanya dengan seorang rakan sekerja selepas makan malam lalu seorang pengebom berlari ke pintu keretanya dan meletupkan diri," kata seorang lagi rakan mangsa, Ali Mohamed.

Kumpulan militan Al-Shabaab juga sudah mengaku serangan itu dalam satu kenyataan dengan memberitahu, anggotanya sudah lama mencari wartawan itu.

Guled, yang dikenali sebagai Abdiaziz Afrika, dikenali ramai dengan temubualnya bersama suspek Al-Shabaab yang ditahan pihak berkuasa Somalia dan rancangannya itu menarik ramai penonton di dalam dan luar negara.

Pemantau media, Reporters Without Borders atau dikenali sebagai RSF pernah mendedahkan Somalia adalah negara yang paling berbahaya di Afrika bagi pekerja media dengan lebih 50 terbunuh sejak 2010.

Al-Shabaab yang dikaitkan dengan Al-Qaeda menguasai ibu negara itu sehingga 2011 apabila ia kemudiannya disingkirkan oleh Kesatuan Afrika namun masih memegang kuasa di luar bandar selain sering melancarkan serangan terhadap kerajaan serta menyasarkan orang awam di Mogadishu atau di mana sahaja. - AFP

Tiada ulasan: