27 Disember 2021

Arab Saudi rekod lonjakan kes COVID-19 akibat Omicron

 Kementerian Perdagangan Arab Saudi mengumumkan beberapa langkah yang perlu dipatuhi premis perniagaan komersial bagi mengekang penularan COVID-19. - Foto Twitter @hfrmoh

Kementerian Perdagangan Arab Saudi mengumumkan beberapa langkah yang perlu dipatuhi premis perniagaan komersial bagi mengekang penularan COVID-19. - Foto Twitter @hfrmoh

JEDDAH: Jumlah kes baharu COVID-19 yang disahkan Arab Saudi mengalami lonjakan mendadak berikutan varian Omicron dengan jangkitan lebih dua kali ganda dikesan dalam tempoh seminggu.

Kementerian Kesihatan (MOH) mengesahkan 389 kes baharu pada Ahad dengan satu kematian berkaitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu.

Pada sidang media, jurucakap MOH, Dr Mohammed Al-Abd Al-Aly, berkata banyak negara menyaksikan lonjakan kes COVID-19, termasuk Arab Saudi.

Sehubungan itu beliau menekankan kepentingan menerima vaksin dan suntikan penggalak, sambil menekankan kepentingan kanak-kanak yang layak mendapatkan vaksin untuk tampil berbuat demikian.

Pihak berkuasa kesihatan mula memberikan vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak berumur antara lima dan 11 tahun pada Selasa lalu.

Keutamaan diberikan kepada mereka yang dianggap terdedah dan berisiko tinggi dijangkiti virus.

Sementara itu pada sidang media sama, jurucakap Kementerian Perdagangan Arab Saudi, Abdulrahman Al-Hussain mengumumkan langkah diperlukan bagi pemilik premis perniagaan untuk membantu mengekang dan mengawal penularan COVID-19.

Premis perniagaan dikehendaki melaksanakan kod bar untuk pelanggan mengimbas pada aplikasi Tawakkalna.

Beliau juga menekankan kepentingan untuk semua premis perniagaan kecil menyemak status vaksinasi pelanggan melalui aplikasi.

Katanya, mulai Februari, orang ramai tidak akan dibenarkan memasuki premis perniagaan komersial tanpa menunjukkan bukti suntikan penggalak vaksin COVID-19.

Aplikasi Tawakkalna telah dilancarkan tahun lalu bagi membantu mengesan jangkitan COVID-19. Sejak itu ia telah dikemas kini untuk memasukkan maklumat vaksinasi, selain turut berfungsi sebagai pasport COVID-19 untuk digunakan di dalam dan di luar negara itu.

Al-Abd Al-Aly menggesa orang ramai untuk mengikuti langkah pencegahan seperti pemakaian pelitup muka, mencuci tangan dan menjalani kuarantin bagi mereka yang menunjukkan gejala.

Arab Saudi mempunyai 587 pusat vaksin di seluruh negara dan menggesa orang ramai yang masih belum mendapat suntikan untuk mendaftar melalui aplikasi Sehhaty.

MOH turut mengulangi gesaan supaya orang ramai mematuhi langkah berjaga-jaga.

Hab ujian dan pusat rawatan yang ditubuhkan telah membantu jutaan penduduk sejak pandemik bermula.

Pusat Taakad menyediakan ujian COVID-19 untuk orang yang tidak menunjukkan gejala atau bergejala ringan, atau yakin mereka telah bersentuhan dengan individu yang dijangkiti.

Klinik Tetamman menawarkan rawatan dan nasihat kepada mereka yang mempunyai simptom virus seperti demam, hilang rasa dan bau serta kesukaran bernafas.

Janji temu untuk mana-mana perkhidmatan boleh dibuat melalui Sehhaty. - AGENSI

Tiada ulasan: