27 Disember 2021

Salah di kelas tersendiri - Pulisic

 Pemain Chelsea Christian Pulisic (kiri) menganggap bintang Liverpool Mohamed Salah (kanan) sebagai pemain terbaik Liga Perdana Inggeris musim ini. - Foto AGENSI

Pemain Chelsea Christian Pulisic (kiri) menganggap bintang Liverpool Mohamed Salah (kanan) sebagai pemain terbaik Liga Perdana Inggeris musim ini. - Foto AGENSI

LONDON: Christian Pulisic menamakan Mohamed Salah sebagai pemain terbaik Liga Perdana Inggeris, selepas bintang Chelsea itu menegaskan sukar untuk menafikan status pemain Mesir itu sebagai pemain terbaik di England.

Salah, 29, mengharungi musim luar biasa bersama Liverpool, selepas meledak 15 gol dalam 18 perlawanan untuk mengekalkan skuad kendalian Jurgen Klopp dalam pemburuan gelaran liga.

Bintang Mesir itu sudah lama meletakkan dirinya dalam kalangan pemain terbaik Liga Perdana Inggeris, bersaing rapat dengan Harry Kane, Bruno Fernandes dan Kevin De Bruyne sejak beberapa musim lalu.

Tetapi bintang Chelsea, Pulisic mendakwa, musim ini Salah berada di kelas tersendiri. Pemain Amerika Syarikat itu mengagumi rakan sepasukannya N'Golo Kante dan Jorginho, tetapi menjelaskan ia tidak setanding Salah.

"Saya rasa jika anda lihat pasukan kami terdapat beberapa persembahan menakjubkan, anda lihat Jorginho dan N'Golo. Tetapi sukar untuk menafikan kehebatan Salah dan apa yang sudah dicapainya. Dia di kelas tersendiri," kata Pulisic.

Bekas bintang Borussia Dortmund itu turut meletakkan legenda Manchester United Cristiano Ronaldo sebagai lawan yang sukar musim ini.

Pulisic mengharungi tiga musim kurang lancar di Stamford Bridge dengan kecederaan membantutkan prestasinya. Bagaimanapun dia memuji bekas pengendalinya ketika di Jerman, Thomas Tuchel yang berjaya mengubah nasib Chelsea.

"Ia sangat hebat. Saya kerap bermain untuknya, pertama di Dortmund dan kini di sini. Dia membina pasukan yang kuat di sini jadi ia sesuatu yang hebat," katanya. - AGENSI

Tiada ulasan: