27 Disember 2021

Banjir di Brazil semakin teruk, jumlah korban meningkat

 

DUA penduduk menggunakan tilam angin untuk bergerak dalam kawasan yang dinaiki banjir di Itapetinga, Bahia, Brazil. - AFP

SALVADOR: Jumlah korban akibat hujan lebat yang melanda negeri Bahia sejak November lalu meningkat kepada 18 orang semalam, selain menyaksikan lebih 35,000 penduduk kehilangan tempat tinggal akibat banjir.

Pasukan bomba Bahia mengesahkan kematian seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun selepas lemas di sungai di selatan negeri itu.

Dua lagi dilaporkan hilang, manakala 19,580 orang hilang tempat tinggal dan 16,001 lagi terpaksa berpindah ke pusat perlindungan sementara.

Selain itu, 286 penduduk cedera sejak hujan lebat melanda negeri itu.

Dianggarkan lebih 430,800 orang terjejas akibat bencana yang berlaku dan situasi dilaporkan semakin buruk sejak beberapa hari lalu.

Sehingga tengah hari semalam, jumlah majlis perbandaran yang mengisytiharkan darurat meningkat kepada 72 dengan 58 daripadanya dilanda banjir.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat mula dilaksanakan sejak kelmarin bagi membantu penduduk yang terjejas. – AFP

Tiada ulasan: