27 Disember 2021

Berlumpur tidak halang Al-Sultan Abdullah lawat mangsa banjir di Kampung Serdang

 

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (enam dari kanan) menyantuni dan beramah mesra dengan mangsa banjir di Kampung Serdang di Mentakab, Temerloh, Pahang. - UTUSAN/NIK NAIZI HUSIN

TEMERLOH: Walaupun keadaan Kampung Serdang dekat sini masih berlumpur namun ia bukan halangan buat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melawat kawasan tersebut dan bertemu serta bertanya khabar dengan penduduk terkesan banjir di situ.

Selain sanggup melalui laluan yang berlumpur, keprihatinan Seri Paduka terserlah apabila berkenan mendengar keluhan mangsa terjejas teruk akibat banjir yang melanda bermula Ahad lalu.

Al-Sultan Abdullah turut menaiki jambatan gantung di kampung tersebut sambil meninjau Sungai Semantan yang melimpahkan banjir di kawasan itu.

Terdahulu Seri Paduka berkenan melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Bukit Cermin di sini.

Al-Sultan Abdullah turut diiringi Pemangku Sultan Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

PPS itu menempatkan 388 mangsa daripada 142 keluarga yang terlibat banjir dari Kampung Mambang Berulang, Kampung Sungai Dingin, Kampung Chatin dan Kampung Serdang serta beberapa kampong sekitar kawasan kejadian.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin dan Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Ali Syahbana Sabaruddin.

UTUSAN.

Tiada ulasan: