20 Disember 2021

PAS kerah negeri, kawasan bantu mangsa banjir

 

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu turut berdukacita dengan kejadian bencana banjir berskala besar yang berlaku di hampir seluruh negara beberapa hari yang lalu akibat hujan lebat.


Sehubungan itu, ujarnya PAS mengarahkan semua PAS negeri, kawasan dan cawangan supaya mengambil langkah segera membantu mangsa-mangsa banjir di tempat masing-masing dan juga kawasan berhampiran mengikut mana yang berkaitan.

Menurutnya, Jabatan Amal PAS dan Khidmat Malaysia PAS diarahkan menjadi Penyelaras Operasi bagi menyelaraskan kerja-kerja bantuan dan menyelamat.

Beliau berkata, Bilik Gerakan Utama dibuka di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut di sini manakala negeri-negeri dan kawasan-kawasan bolehlah membuka bilik operasi di tempat masing-masing mengikut kesesuaian.

Di samping itu, ujar beliau PAS negeri-negeri diarahkan melancarkan Derma Bencana Banjir daripada ahli-ahli PAS dan orang awam untuk turut membantu pembiayaan pengurusan banjir.

“PAS yakin dengan digerakkan semua usaha dan bantuan daripada pertubuhan-pertubuhan tanpa mengira latar belakang atas dasar ‘Keluarga Malaysia’ akan dapat membantu memperkasakan lagi usaha hampir semua agensi-agensi kerajaan yang telah turun dalam menghadapi bencana yang besar pada kali ini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu. – HARAKAHDAILY 20/12/2021

Tiada ulasan: