20 Disember 2021

44,652 mangsa banjir dilaporkan di lapan negeri

 Tinjauan banjir di kawasan Rantau Panjang. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Tinjauan banjir di kawasan Rantau Panjang. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Putrajaya: Jumlah mangsa banjir di lapan negeri terus menunjukkan peningkatan kepada 44,652 mangsa daripada 13,487 keluarga.

Menerusi data yang dikongsi di laman sesawang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga jam 10 pagi tadi mangsa banjir tertinggi dilaporkan di Pahang membabitkan 26,821 individu daripada 7,172 keluarga.

Jumlah yang dinyatakan itu turut membabitkan 8,617 kanak-kanak serta 1,490 bayi. Turut terkesan dalam bencana berkenaan ialah 1,503 warga emas serta 293 mangsa dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU).

Kesemua mangsa banjir di Pahang kini sudah dipindahkan ke 240 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang di buka di negeri berkenaan.

Selain itu, data yang dikongsi itu turut memaparkan sehingga jam 10.53 pagi sebanyak 11,931 mangsa banjir daripada 4,384 keluarga dilaporkan di Selangor dan kesemua mereka kini ditempatkan di 80 PPS.

Jumlah mangsa di Selangor turut membabitkan 2,985 kanak-kanak, bayi (236), warga emas (261), OKU (76) manakala bagi mangsa banjir di Kelantan sehingga jam 10.49 pagi tadi sebanyak 3,659 mangsa banjir membabitkan 1,079 keluarga.

Kesemua mereka kini ditempatkan di 40 PPS yang turut membabitkan 1,197 kanak-kanak, bayi (121), warga emas (159) dan OKU (32).

Di Melaka setakat jam 10.48 pagi tadi pula terdapat sebanyak 746 mangsa dari 163 keluarga. Mereka kini ditempatkan di 11 PPS yang turut merangkumi mangsa dalam kalangan kanak-kanak (257), bayi (19), warga emas (77) dan seorang OKU.

Selain itu di Kuala Lumpur setakat 12.14 tengah hari semalam terdapat sebanyak 526 mangsa daripada 463 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS. Selain orang dewasa, mangsa di negeri ini turut membabitkan kanak-kanak (106), bayi (8), warga emas (20) dan OKU (4).

Negeri Sembilan pula, sehingga jam 8.47 pagi tadi, sebanyak 408 mangsa membabitkan 86 keluarga kini ditempatkan di 12 PPS. Mangsa yang dinyatakan itu turut merangkumi 131 kanak-kanak, bayi (8), warga emas (29) dan OKU (3).

Manakala di Terengganu setakat jam 8.12 pagi tadi melaporkan sebanyak 303 mangsa daripada 71 keluarga yang kini ditempatkan di lapan PPS. Ia turut membabitkan 69 kanak-kanak, bayi (7), warga emas (10) dan OKU (2)

Negeri terakhir ialah Perak, sehingga jam 9.32 pagi tadi terdapat 258 mangsa daripada 69 keluarga. Mangsa berkenaan turut membabitkan kanak-kanak (105), bayi (8), warga emas (19) dan OKU (2).

HMETRO.

Tiada ulasan: