20 Disember 2021

Kes COVID-19 dijangka meningkat angkara banjir

 Kes positif COVID-19 dikesan di PPS. - Foto hiasan

Kes positif COVID-19 dikesan di PPS. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan peningkatan kes COVID-19 berikutan bencana banjir, selepas saringan di pusat pemindahan sementara (PPS) merekodkan 181 kes positif.

Hasil saringan setakat jam 11 pagi tadi itu antara lain membabitkan 117 kes positif di Selangor, Pahang (52), Kelantan (6), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (empat) dan masing-masing satu kes di Melaka serta Negeri Sembilan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata kebanyakan kes positif terdiri daripada pesakit kategori 1 dan 2, iaitu yang tidak mempunyai gejala atau menunjukkan gejala ringan.

Sehubungan itu, katanya, semua individu berkenaan dipindahkan ke lokasi tertentu, sama ada hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau kemudahan yang berkaitan seperti PPS khusus.

"Berikutan kes positif ini, kita mendapati ada 206 kontak rapat dan mereka semua juga dipindahkan ke PPS khusus, PKRC, stesen kuarantin atau hospital.

"Justeru, KKM memang menjangkakan berlaku peningkatan kes disebabkan bencana banjir, dengan mengambil kira keadaan proses pemindahan yang terpaksa dibuat dalam risiko tinggi.

"Maka, ada langkah kesihatan awam yang tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana keutamaan kita ialah untuk menyelamatkan mangsa banjir, sehingga kadang kala tidak memakai pelitup muka.

"Bagaimanapun, kita bersiap sedia dengan risiko kenaikan kes disebabkan bencana banjir ketika ini, dengan menambah baik aspek sistem kesihatan awam dan kesiapsiagaan di semua negeri," katanya pada sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.

BHARIAN.

Tiada ulasan: