20 Disember 2021

Timbunan barangan keperluan untuk mangsa banjir sumbangan warga Seremban

 

ORANG ramai mengumpulkan barangan keperluan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban untuk disumbangkan kepada mangsa yang terjejas banjir di Negeri Sembilan dan Selangor.- UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

SEREMBAN: Sejumlah barangan keperluan termasuk pakaian berjaya dikumpulkan daripada penduduk sekitar Seremban menerusi program hasil inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Ikatan Amal Muafakat Malaysia dan sukarelawan hari ini.

Program pengumpulan tersebut diadakan di tempat letak kereta Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, yang berlangsung bermula pukul 12 tengah hari tadi sehingga pukul 5 petang.

Wakil NGO terbabit, Mohd. Shahril Anuar, 36 berkata, hasil sumbangan orang ramai yang berjaya dikumpulkan tersebut akan disusun dan kemudian akan diserahkan kepada golongan yang terjejas banjir khususnya di Negeri Sembilan dan Selangor.

“Kami adakan aktiviti pengumpulan barang-barang terpakai bagi membantu mangsa di kawasan yang terjejas terutama di Jalan Pantai, Seremban dan Selangor yang terjejas agak teruk. 

“Antara barangan yang berjaya dikumpul adalah seperti toto, selimut, bantal dan pakaian baharu dan terpakai diharap dapat meringankan mangsa banjir yang terlibat. 

“Kami tidak menyangka sambutan luar biasa yang diterima oleh warga Seremban sehingga menerima lambakan barangan pada hari pertama ini. Kami akan beralih ke lokasi pengumpulan barangan pada hari kedua iaitu esok dan lusa di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi bagi menampung kawasan pengumpulan yang agak terhad di stadium ini,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Menurut Mohd. Shahril, pihaknya  menyasarkan untuk mendapat lebih banyak toto, selimut dan bantal untuk diberikan kepada mangsa banjir. 

“Sekarang sasaran kami adalah mendapatkan lebih banyak toto, bantal dan selimut untuk diberikan kepada mangsa banjir. Kami berharap lebih ramai datang memberi barangan sedemikian kerana pakaian terpakai sudah agak banyak,” katanya lagi. 

Sementara itu, seorang sukarelawan, Hazran Azizul berkata, program pengumpulan tersebut juga diadakan secara pandu lalu bagi memudahkan orang ramai untuk menghulurkan bantuan.

“Sumbangan tersebut akan diagihkan kepada mangsa banjir di tiga buah kawasan iaitu Seremban dan Jelebu, Nilai, Bandar Baru Salak Tinggi dan Dengkil serta Shah Alam, Selangor,” katanya. 

Dalam pada itu seorang penderma, Nurazreen Sazzalina Abdul sani, 33,  dari Mambau berkata, dia dan rakannya terpanggil untuk membantu mangsa banjir selepas melihat mesej program pengumpulan barangan tersebut yang tular di media sosial.

“Saya rasa terkesan dengan kejadian banjir yang menimpa mereka terutama di Selangor yang mengalami banjir teruk. 

“Saya telah mengumpulkan pakaian terpakai dan membeli beberapa set lampin kanak-kanak untuk disumbangkan pada hari ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: