20 Disember 2021

Royalti petroleum: PM hendak jumpa MB Kelantan

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menyatakan hasrat untuk berjumpa Menteri Besar Kelantan bagi mencari penyelesaian berhubung isu tuntutan royalti petroleum oleh kerajaan Kelantan.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Mustapa Mohamed, berkata pertemuan itu diharapkan dapat mencari penyelesaian selepas pertemuan sebelum ini antara Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dan Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob. 

Mengulas lanjut, katanya Menteri Besar Kelantan pada 2 November lalu, menulis surat kepada Perdana Menteri berhubung isu tuntutan itu.

Katanya, ini disusuli dengan kunjungan hormat Menteri Besar Kelantan kepada Perdana Menteri pada 16 November lalu yang membincangkan hal-hal berkaitan bayaran untuk minyak dan hasil dari Kelantan.

“Selepas pertemuan itu, Perdana Menteri memanggil pihak-pihak berkenaan, iaitu Unit Perancangan Ekonomi, Kementerian Kewangan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Jabatan Peguam Negara, untuk diberi pencerahan mengenai perkara ini.

“Kami telah memberikan taklimat sepenuhnya kepada Perdana Menteri yang kemudian bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan pada masa yang sesuai,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) di Dewan Negara, hari ini.

Mustapa berkata, isu tuntutan ini dibangkitkan dalam perbahasan oleh Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff dan Senator Mohd Apandi Mohamad.

Menurutnya, ketika ini, semua pihak maklum bahawa Perdana Menteri mempunyai tugas yang penting, termasuk banjir yang melanda Lembah Klang dan beberapa negeri lain di seluruh negara.

“Insya-Allah, pertemuan akan diadakan pada masa yang sesuai antara Perdana Menteri dan Menteri Besar Kelantan dengan perkara yang dibangkitkan akan dibincangkan dengan lebih lanjut. Kita berharap beberapa perkara yang dibincangkan pada 16 November lalu dapat dicari penyelesaian,” katanya.

Menteri Kewangan, Dato’ Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat sebelum ini dilaporkan berkata, Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri, termasuk Kelantan.

Katanya, keputusan itu buat berikutan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan Kelantan. – HARAKAHDAILY 20/12/21

Tiada ulasan: