20 Disember 2021

Plaza Tol, Persimpangan Bertingkat Shah Alam dibuka semula

 PLAZA Tol Bukit Jelutong, Shah Alam. FOTO Arkib NSTP

PLAZA Tol Bukit Jelutong, Shah Alam. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Plaza Tol dan Persimpangan Bertingkat Shah Alam kini dibuka semula secara berperingkat kepada semua pengguna lebuh raya itu.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pihaknya kini dalam proses menjalankan kerja pembersihan, pengalihan kenderaan terkandas, pemeriksaan menyeluruh dan kerja pembaikan ke atas aset lebuh raya serta peralatan tol yang rosak disebabkan air banjir.

"Laluan yang terjejas kini dibuka secara berperingkat.

"Namun, kami menasihati pelanggan untuk tetap berhati-hati dan mematuhi papan tanda amaran kerana masih ada di beberapa bahagian jalan yang masih ditakungi air banjir," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, PLUS bersyukur dan berterima kasih atas sokongan semua pihak termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, serta semua agensi lain.

"Tidak lupa orang perseorangan yang terbabit dalam misi menyelamat dan memindahkan pelanggan lebuh raya yang terkandas terutamanya mereka yang memberikan kerjasama demi memastikan operasi menyelamat berjalan lancar.

"Kesabaran mereka membantu memastikan keselamatan serta keselesaan semua kekal menjadi keutamaan PLUS," katanya.

Menurutnya, pengguna lebuh raya juga dinasihatkan untuk menyemak status banjir semasa dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

"Orang ramai boleh memeriksa maklumat trafik terkini di laman web PLUS, www.plus.com.my dan platfom media sosial termasuk Facebook PLUS Malaysia dan Twitter PLUSTrafik serta PLUS App," katanya.

HMETRO.

Tiada ulasan: